SUDAH seminggu berlalu, nahas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tetap menjadi bualan ramai.
Tidak hanya berkisar tentang bagaimana kemalangan itu berlaku, perlakuan pemandu dan keadaan jalan tetapi apa yang diperkatakan adalah berhubung sikap dan tingkah laku kesemua bakal pendidik berkenaan.
Nurly Shahirah Azman, gadis yang sentiasa ‘mendakap’ al-Quran antara nama disebut-sebut. Reda bapanya atas apa yang berlaku sangat meruntun hati orang ramai.
Betapa besar jiwa si ayah.
Muhammad Adib Azim, insan yang mengagungkan ibu dan sebelum kejadian sempat memberikan wanita yang melahirkannya itu hadiah. Saat kita kehilangan akan muncul segala kenangan dan rasa terkilan apabila gagal menyempurnakan hajat insan yang telah pergi.
‘Jika aku jumpa kau dulu…, kita sudah berjanji mahu bertemu.. sebelum ini dia mahu makan… ini antara bait ayat yang selalu kita dengar tatkala berdepan dengan kehilangan.
Benarlah, jika kita berhajat lakukanlah, mahu berjumpa teruskan kerana hari esok mungkin tiada atau tidak sama seperti sebelumnya.
Jalan Raya Timur Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik yang dilalui bas persiaran membawa 42 penuntut UPSI disifatkan bahaya oleh orang ramai.
Jalan berlopak dan tidak sempurna termasuk selekoh tajam. Di waktu malam laluan di situ hanya diterangi lampu kenderaan, lebih menakutkan apabila kabus meliputi, pencahayaan menjadi sangat terhad.
Kelmarin, laporan awal nahas daripada Puspakom telah menyaksikan tiada bukti kegagalan sistem mekanikal seperti brek dan tayar yang menyebabkan kemalangan itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca daripada faktor-faktor lain seperti manusia, keadaan jalan dan sebagainya.
Insiden yang mengorbankan ramai bakal pendidik ini membuka mata apabila terdapat kesalahan dilakukan pemilik termasuk memajak bas dengan nilai RM500 sebulan selain tiada sistem GPS.
Sudah terhantuk baru terngadah, apabila satu-satu kejadian itu berlaku, baru kita mahu mencari punca dan tindakan bagi memperbaiki.
Banyak yang diutarakan termasuk menghalang pemanduan membawa pelajar diwaktu malam, wujudkan pangkalan data pemandu selain tali pinggang keledar penumpang bas.
Disebalik banyak cadangan dan solusi, janganlah ia hanya menjadi perhiasan dalam Kabinet. Laksanakan dengan tegas agar tiada lagi nyawa terkorban. Pastikan semuanya mengikut perancangan.
Kepada mereka yang memegang kuasa, tolong amanah dan laksanakanlah tugas dengan sebaik-baiknya. Jangan sambil lewa atau culas takut ada nyawa yang melayang.
Bagi yang bekerja, buatlah dengan baik tugas lebih-lebih lagi apabila pekerjaan tersebut melibatkan banyak nyawa. Tegas dan komited mencari keadilan, mereka yang terkorban adalah anak harapan keluarga, bakal pendidik.














