fbpx
KONSEP minimalis menekankan jumlah perabot dan aksesori tidak berlebihan.

Tip dekorasi ruang rumah sempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINGGAL di kediaman bersaiz kecil bukan penghalang untuk menikmati suasana rumah yang selesa dan bergaya. 

Dengan susun atur yang bijak dan dekorasi sesuai, ruangan sempit boleh diubah menjadi luas, kemas serta menarik. 

Menurut pereka dalaman, Ahmad Faiz Abdullah, saiz sesebuah rumah bukanlah penghalang untuk pemilik menghiasnya mengikut tema idaman.

“Dalam dekorasi, ia bergantung kepada kreativiti dan perancangan bagaimana sesuatu ruang itu boleh dimanfaatkan dengan baik.

“Oleh itu, pemilik rumah perlu tahu kesesuaian dari aspek perabot, warna dan sebagainya sebelum mengaturnya untuk rumah mereka,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, terdapat beberapa tip mudah tetapi berkesan untuk membantu pemilik rumah menghias ruang kecil agar lebih praktikal dan estetik.

Ujarnya, salah satu tip adalah memilih perabot pelbagai fungsi untuk menjimatkan ruang. 

Contohnya, sofa bed (katil) yang boleh dijadikan tempat tidur, meja kopi dengan ruang simpanan tersembunyi, atau bangku untuk duduk dan kotak simpanan. 

Penggunaan perabot seperti ini bukan saja menjimatkan ruang, malah membantu mengurangkan ‘clutter’ di rumah.

Tip seterusnya adalah penggunaan warna cerah dan natural dapat memainkan peranan besar dalam mencipta ilusi ruang lebih luas. 

PEMILIK kediaman boleh menggunakan perabot multi fungsi.

Penggunaan warna-warna cerah seperti putih, krim, kelabu muda atau pastel pada dinding dan perabot utama dapat memantulkan cahaya serta menjadikan ruang tampak lebih terbuka.

Menurut pemuda berasal dari Pulau Pinang itu, pemilik rumah juga boleh memaksimumkan penggunaan cermin untuk menampakkan ruang lebih luas.

“Cermin besar boleh menjadikan ruang sempit kelihatan dua kali ganda lebih luas. 

“Letakkan cermin di dinding yang menghadap tingkap untuk memantulkan cahaya semula jadi dan mewujudkan suasana lebih terang dan lapang.

“Untuk jimat ruang lantai, gantung rak, lampu dan tanaman hiasan di dinding atau siling. 

“Rak dinding sangat sesuai untuk buku, perhiasan kecil atau barangan dapur. Ia bukan sahaja praktikal, malah menambah nilai estetik dekorasi,” ujarnya.

Kongsinya, bagi menata rias rumah bersaiz kecil, sebaiknya pemilik kediaman perlu mengekalkan konsep minimalis. 

CERMIN besar di dinding menjadikan ruang kelihatan lebih luas.

Konsep minimalis menekankan jumlah perabot dan aksesori yang tidak berlebihan dalam satu ruang. 

Pilih yang benar-benar perlu dan elak hiasan berlebihan.  Konsep minimalis bukan sahaja menjadikan rumah nampak lebih teratur, malah memberi rasa tenang dan lapang.

“Elakkan juga langsir tebal dan gelap kerana boleh ‘menyempitkan’ ruang. 

“Sebaliknya, pilih langsir fabrik nipis dan ringan seperti linen atau sheer dengan tona cerah agar cahaya semula jadi boleh masuk dengan baik.

“Jika ruang lantai terhad, fikir secara menegak. Gunakan rak bertingkat atau penyimpanan dinding untuk memanfaatkan ketinggian bilik,” jelasnya.

Ujarnya lagi, dekorasi untuk rumah kecil bukan tentang berbelanja besar, sebaliknya mengenai membuat pilihan yang bijak. 

“Dengan susun atur efisien dan pemilihan hiasan tepat, pemilik rumah bukan saja boleh mencipta ruang yang cantik, malah selesa untuk didiami,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN