fbpx
Abdul wahid yang memegang bayinya kelihatan sugul dengan kematian isterinya yang lemas di Sungai Triang, Bera.

‘Selagi bernyawa, saya akan jaga baby Aleesyah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERA – Lambaian terakhir dan pesanan arwah isteri supaya menjaga anak masih terngiang-ngiang di telinga seorang lelaki walaupun hatinya luluh melihat pasukan menyelamat membawa mayat wanita itu yang ditemukan lemas semalam selepas hilang di Sungai Triang di sini sejak Isnin lalu.

Sarjan Abdul Wahid Randa, 32, berkata, nada cemas arwah isterinya, Sakirah Akob, 31, ‘abang, jaga anak kita’ sambil menye­rahkan bayi, Aleesyah Humaira, 16 bulan, dari dalam kereta jenis Perodua Bezza sebelum dia ha­nyut masih di­ingati hingga kini.

Katanya, dia sempat menjerit sayang sambil mengambil anak mereka sebelum isterinya hilang di dalam sungai bersama kereta.

“Ia merupakan dugaan paling berat dalam hidup saya, namun saya reda dan bertekad meme­nuhi harapan arwah untuk membesarkan anak menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Selasa lalu, Kosmo! Online melaporkan, kejadian pukul 1.30 tengah hari itu berlaku ketika Sakirah bersama bayi perem­puan mereka berada dalam kereta Perodua Bezza yang diparkir
sebelum bergerak secara tiba-tiba menggelongsor ke dalam sungai.

Bagaimanapun, ketika keja­dian Sakirah sempat menyerahkan bayi kepada suaminya, jerit abang dan melambai tangan sebelum dihanyutkan arus deras.

Pasukan penyelamat mengangkat mayat Sakirah selepas ditemukan lemas di Sungai Triang, Bera semalam.

Mengimbau semula kejadian itu, anggota tentera di Kem Bera itu memberitahu, ketika itu dia sedang memancing di tebing sungai pada hari terakhir cuti­nya, manakala isteri dan anaknya duduk di dalam kereta.

Menurut Abdul Wahid, ketika memancing, dia terdengar iste­rinya menjerit sebelum melihat keretanya bergerak ke dalam sungai.

“Saya cuba menahan kereta dan pergi ke arah isteri. Dia membuka pintu sambil kaki menolak pintu dan menyerahkan anak kepada saya dan kata abang jaga anak.

“Saya bawa anak naik dan tinggalkannya di atas. Bila hendak turun ke sungai untuk selamatkan isteri, anak mengekori saya. Semasa itu, saya nampak isteri hanyut dibawa arus,” katanya.

Lelaki itu memberitahu, dia menjerit meminta tolong, namun tiada sesiapa di kawasan sekitar sebelum berlari ke pasar berdekatan bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, ada penduduk yang datang ke lokasi, namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa ke­rana arus sungai yang deras.

Ujar Abdul Wahid, arwah isterinya merupakan suri rumah dan seorang yang penyayang, lemah-lembut dan sentiasa menghormati suami.

“Kami baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran anak sulung mereka bulan lalu,” katanya.

Gambar kenangan Sakirah bersama anaknya, Aleesyah.

Menurut Abdul Wahid lagi, jenazah isterinya diterbangkan ke Sabah untuk dikebumikan di tanah kelahirannya, Kampung Angan-Angan, Tenom.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari isteri saya walaupun tidak kenal kami,” katanya.

Abdul Wahid berkata, pemergian isterinya bukan pengakhiran hidup, sebaliknya permulaan tanggungjawab besar yang perlu dipikul demi amanah seorang ibu.

“Selagi saya bernyawa, saya akan jaga Aleesyah seperti yang arwah mahukan. Dia adalah wa­risan cinta kami. Saya mahu anak ini membesar sebagai insan solehah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, mayat Sakirah ditemukan terapung oleh orang awam pada pukul 8.40 pagi kira-kira 2.5 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Bera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN