fbpx
MAJLIS makan malam anjuran alumni OE Academy berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM69,980 untuk disumbangkan kepada pusat kebajikan terpilih.

K2

Pentas rai ibu, kumpul dana kebajikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MAJLIS makan malam amal bertemakan, Dengan Nama Ibu, Berbakti kepada Rakyat telah menjadi platform kepada seorang peguam menzahirkan penghargaan kepada insan bergelar ibu.

Bagi Katherine Susan Lee iaitu pengasas firma guaman, Susan Lee & Co dan alumni OE Academy, majlis makan malam amal yang diadakan di ibu negara baru-baru ini bukan acara biasa.

Menurutnya, majlis tersebut bukan sahaja menjadi pentas kepadanya untuk meluahkan penghargaan kepada ibu, malah insan-insan penting dalam hidupnya.

Malah, majlis itu telah berjaya mengumpul dana bagi membantu golongan yang memerlukan, sekali gus memancarkan cahaya kasih dan kemanusiaan.

Dalam ucapannya pada malam itu, Katherine membuka kisah peribadinya yang luar biasa. Bermula sebagai seorang anak yatim piatu ditinggalkan, dia kemudian dia dibesarkan oleh seorang wanita bujang yang juga merupakan individu kurang upaya.

Walaupun hidup serba kekurangan, namun wanita bergelar ibu tetap mengorbankan segalanya demi memastikan Katherine mendapat pendidikan dan asuhan terbaik.

“Sewaktu kecil, saya sering berharap agar ada seseorang melindungi saya ketika saya menangis, dimarahi atau disakiti.

“Namun, tiada siapa yang datang sehinggalah saya dipertemukan dengan ibu (wanita bujang).

“Hari ini, saya sendiri telah menjadi kesatria buat diri saya dan kepada ibu angkat saya itu,” katanya.

Dia juga berkongsi bahawa kehidupannya bukan untuk diri sendiri saja.

Katherine (kiri) bersama ibunya ketika majlis meraikan peranan dan jasa wanita itu sehingga dia berjaya bergelar peguam.

“Saya hidup untuk memenuhi harapan ibu saya dan menjadikan impian orang yang disayangi satu kenyataan,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Katherine turut memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan yang menganugerahkan kesihatan kepada ibunya dan semua tetamu lain yang bergelar ibu.

Salah satu detik paling mengharukan dan beremosi pada malam itu adalah ketika simbolik majlis graduasi buat ibu Katherine.

Ia satu penghormatan yang begitu bermakna, sekali gus melambangkan kejayaan seorang anak yang akhirnya berjaya menyarung jubah graduasi.

Dalam majlis sama, Katherine turut merakamkan penghargaan mendalam kepada gurunya dan mentor kehidupan, Datuk Wira Dr. Calvin Khiu.

Jelasnya, Dr. Calvin merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan dalam kerjayanya.

Dr. Calvin menyentuh hati hadirin menerusi bait-bait kata dalam ucapan ringkasnya.

“Seseorang yang tahu bersyukur adalah insan yang wajar dihormati dan dihargai.

“Keikhlasan seperti ini akan menarik orang-orang yang sehaluan dan sehati dengan kita,” katanya ringkas.

Dr. Calvin juga menunjukkan sokongannya dengan menyumbang lima botol wain edisi terhad Ferrari dari Itali untuk dilelong. Hasil lelongan telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM24,332 untuk tujuan amal.

Tidak setakat itu, dalam semangat kebersamaan, rakan seperjuangan Katherine yang juga merupakan Pengasas Kumpulan Inhome, Terry Chong turut tampil dengan sumbangan besar.

Chong telah memberi sebuah rumah tiga tingkat bagi menampung keperluan pemindahan Pusat Jagaan Saaii.

Secara keseluruhan, majlis amal tersebut berjaya mengumpul dana terkumpul sebanyak RM69,980.

Dana tersebut akan disalurkan kepada tiga organisasi kebajikan iaitu Pusat Kebajikan Kanak-Kanak Kepong, IQ70plus Jian An Jia Fu dan Pusat Jagaan Saaii.

Sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang, pasukan Susan Lee & Co. turut menyampaikan sejambak bunga serta sijil penghargaan kepada Katherine.

Momen tersebut mengakhiri malam yang bukan sahaja penuh inspirasi, malah sarat dengan emosi, kenangan dan harapan untuk masa depan lebih baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN