MESIN pencetak makanan tiga dimensi (3D) bukan hal baharu kerana teknologi itu sudah diperkenalkan lebih sedekad lalu.
Negara seperti Belanda, Jerman, Singapura, China dan Amerika Syarikat telah menggunakan teknologi itu secara komersial dan klinikal, selain memberi pendidikan kepada golongan pelajar tentang pengambilan diet sihat.
Kini, teknologi itu telah diterokai secara serius menerusi kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Program Mekanisasi Pemprosesan dan Lepas Tuai, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan MARDI.
Menggunakan model Foodini keluaran Natural Machines dari Sepanyol, mesin 3D itu dipilih kerana ciri keselamatan yang diperakui dan sesuai untuk pemprosesan makanan.
Menurut Pegawai Penyelidik Program Mekanisasi Pemprosesan dan Lepas Tuai Pusat Penyelidikan Kejuruteraan MARDI, Sharifah Hafiza Mohd. Ramli, mesin tersebut menggunakan kapsul tahan karat yang selamat digunakan untuk penyediaan makanan.
Katanya, struktur mesin yang tertutup dapat mengelak makanan dicetak terdedah kepada pencemaran semasa proses cetakan berlangsung.
“Setelah penelitian dibuat, mesin Foodini dipilih untuk menjalani kajian pencetak makanan kerana keupayaannya menyokong penggunaan sehingga lima kapsul serentak berbanding yang lain mempunyai satu atau dua saja kapsul.
“Kehadiran penyelidik adalah untuk memastikan produk yang dihasilkan menggunakan bahan sesuai dan selamat kepada para pengguna.
“Kami perlu menjalankan kajian bagi mengetahui campuran bahan digunakan.
“Hasil campuran itu perlu diketahui agar bersesuaian dengan parameter (mengikut saiz ditetapkan mesin), saiz nozel (muncung) kapsul dan jumlah makanan dicetak,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.

Pasukan penyelidik juga perlu berusaha memastikan bancuhan adunan atau ‘dakwat’ dalam kapsul sesuai untuk dicetak.
Kata Sharifah Hafiza, ujian penggunaan pencetak makanan mula dijalankan sekitar 2017 selepas berjaya memperoleh dana Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Memandangkan dana yang terima agak terhad, jadi kami membeli mesin yang mempunyai potensi komersial.
“Bahagian formulasi bancuhan pula ditentukan oleh Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan MARDI mengikut nutrisi sesuai untuk golongan seperti atlet, warga emas atau ibu hamil.
“Mereka membantu dari segi formulasi, manakala kami akan mengusahakan agar makanan lebih cantik supaya pengguna boleh menikmatinya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, dakwat perlu berada pada tahap bersesuaian bagi membolehkan mesin pencetak menghasilkan makanan dimahukan.
Ujar Sharifah Hafiza, kedudukan sudu pada adunan pencetak menjadi penentu sama ada ia boleh digunakan untuk mencetak makanan atau tidak.
“Cara mudah untuk kita kenal pasti adunan boleh digunakan atau tidak adalah dengan meletakkan sudu pada adunan.
“Sekiranya sudu dapat ‘berdiri’ tegak, maknanya bancuhan itu sesuai iaitu tidak terlalu keras atau cair.
“Kandungan air dalam bancuhan memainkan peranan penting agar adunan sesuai digunakan untuk cetakan.
“Jika menggunakan doh, kandungan air, tepung dan telur perlu diambil kira supaya ia boleh dicetak,” katanya.

Mengulas mengenai fungsi kejuruteraan dalam penyediaan makanan, Sharifah Hafiza memberitahu, pihaknya mengkaji reologi (aliran dan perubahan bentuk bahan) material untuk membuatkan dakwat pencetak.
Selain itu, tahap kelajuan adunan keluar dari nozel, konsistensi dan kelajuan cecair untuk menghasilkan cetakan mengikut rekaan menjadi tanggungjawab pihak kejuruteraan makanan.
“Setiap rekaan dan saiz nozel memiliki kekuatan tertentu, manakala rekaan juga perlu ditetapkan mengikut keluasan graf rekaan.
“Pencetak ini disasarkan untuk personalisasi dan pengubahsuaian mengikut kehendak atau keperluan individu berdasarkan diet khusus.
“Formulasi nutrisi ditentukan oleh teknologi makanan, kami di kejuruteraan pula mengkaji karakter material yang sesuai digunakan,” katanya.
Sharifah Hafiza turut memberitahu, kaedah itu sesuai buat golongan yang memerlukan diet tertentu atau texture modified diet (TMD) iaitu pelan pemakanan khas.
Menerusi TMD, tekstur makanan boleh diubah suai supaya lebih mudah dikunyah, ditelan dan dihadam terutamanya kepada individu mengalami masalah menelan (disfagia) atau masalah mulut.
Difahamkan, pencetak makanan 3D belum digunakan secara meluas di pusat perubatan tempatan.
Hal ini kerana ia masih menggunakan kaedah menghancurkan makanan pada tahap cecair jernih (tahap satu), cecair penuh (tahap dua) atau puree (tahap tiga).
Untuk makluman, terdapat lima peringkat makanan iaitu tahap satu (cecair tanpa serat atau ketulan), tahap dua (cecair termasuk susu, sup krim), tahap tiga (dikisar halus tiada ketulan), tahap empat (makanan lembut mudah dikunyah) dan tahap lima (makanan normal).
“Sebagai contoh, jika pesakit ingin makan roti canai, roti akan dicampurkan bersama kuah dan dihancurkan sehingga menjadi bentuk cecair.
“Cara itu sudah mengubah bentuk dan mungkin rasa makanan yang boleh menyebabkan pesakit hilang mood untuk makan.
“Dengan adanya mesin ini, ia akan mencetak makanan dalam bentuk yang lebih menarik, di samping kandungan nutrisi juga terpelihara,” katanya.
Mesin itu menggunakan tiga saiz nozel iaitu berukuran lapan, 15 dan 40.
Bercakap tentang fungsi mesin, Sharifah memberitahu, Foodini memiliki kapasiti lima unit kapsul yang masing-masing boleh menampung 100 mililiter (ml) bancuhan.
Kongsi Sharifah Hafiza, setiap kapsul akan dimasukkan bancuhan, kemudian lengan robotik membuat cetakan berdasarkan pilihan rekaan.
Memandangkan ruang pencetak terhad, maka saiz dan ketinggian makanan perlu berskala kecil.
“Setiap kapsul berkapasiti 100 mililiter dan ia boleh menghasilkan sekitar lapan makanan, tetapi ia tetap bergantung kepada saiz rekaan.
“Paling besar kami pernah hasilkan sebelum ini adalah kira-kira 20 lapisan yang setiap satunya berukuran 1.5 milimeter (mm),” ujarnya.
Selaku penyelidik, Sharifah berharap, teknologi tersebut dapat diterima oleh khalayak, sekali gus digunakan secara meluas sama ada secara komersial atau klinikal.
Teknologi itu juga berjaya menarik perhatian khalayak saat diketengahkan pada pemeran Show Tech MARDI 2025 yang berlangsung di MAEPS Serdang, Selangor baru-baru ini.
Reaksi positif pengunjung membuktikan masyarakat kini terbuka menerima teknologi baharu yang menawarkan kemudahan realistik.
“Sepanjang pameran berlangsung, kami dapat lihat pengunjung mempamerkan minat terhadap kemudahan ini dengan bertanyakan soalan dan memberikan pandangan.
“Reaksi ini penting buat penyelidik seperti kami bagi mengetahui tentang penerimaan dan kesediaan pengguna terhadap kemudahan tersebut apabila dikomersialkan kelak,” katanya.
Pada pameran itu, Sharifah Hafiza menggunakan keledek yang diletakkan dalam periuk multifungsi pintar, sebelum dimasukkan ke dalam kapsul untuk dijadikan dakwat cetakan.














