SASARAN Bank Negara Malaysia (BNM) agar Malaysia menjadi sebuah ekonomi digital berdaya saing turut menggariskan masyarakat tanpa tunai sebagai salah satu tonggak utama dalam transformasi tersebut.
Ini secara tidak langsung perlu diberi perhatian kerana melibatkan ketersediaan masyarakat dalam menerima konsep tanpa tunai dalam kehidupan seharian mereka.
Bagi penduduk bandar, ia perkara biasa, namun bagaimana dengan penduduk luar bandar, warga emas atau kelompok yang kurang pendedahan teknologi?
Menurut perkongsian Profesor di Jabatan Sains Pemutusan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Prof. Dr. Noor Ismawati Jaafar, dalam era digital yang serba pantas, masyarakat global semakin cenderung ke arah penggunaan sistem kewangan tanpa tunai.
“Di Kuala Lumpur, kita dapat lihat konsep tanpa tunai diaplikasi di plaza tol dan tempat letak kenderaan.
“Situasi ini pasti menjadi sukar bagi mereka dari luar Kuala Lumpur yang datang ke ibu negara,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jelasnya, walaupun terdapat arahan seperti ‘Sila buat bayaran parkir melalui aplikasi e-dompet: Touch ‘n Go eWallet/Boost/Flexi Parking, warga emas misalnya hanya tahu membayar secara tunai dan ketiadaan telefon pintar pasti menyukarkan mereka.
Ini antara cabaran yang perlu diberi perhatian oleh pihak penyedia terutama dalam menyebarkan kesedaran tentang konsep tanpa tunai ke seluruh negara, bukan hanya tertumpu di bandar besar.
Selain itu, isu keselamatan siber, kebocoran data, penipuan dalam talian dan penggodaman sistem juga tidak boleh dipandang ringan kerana ia juga boleh menjejaskan keyakinan pengguna terhadap penggunaan sistem digital tanpa tunai.
Katanya, tidak semua lapisan masyarakat bersedia untuk beralih sepenuhnya kepada sistem tanpa tunai.
“Golongan warga emas, masyarakat luar bandar dan mereka yang kurang celik teknologi mungkin berdepan kesukaran. Jika tiada pendekatan yang inklusif, wujud risiko jurang digital yang boleh menyebabkan sesetengah pihak tersisih daripada arus pembangunan.
“Kebergantungan yang tinggi kepada teknologi juga mencetuskan kerisauan. Gangguan pada sistem perbankan atau rangkaian internet boleh melumpuhkan pelbagai urus niaga harian,” ujarnya.
Menurut beliau, hal ini terbukti dalam beberapa kes yang mana sistem pembayaran tergendala menyebabkan kekeliruan dan kesulitan di premis-premis perniagaan.
Satu lagi isu yang sering dibangkitkan berkaitan privasi. Setiap transaksi digital direkodkan dan ini membuka ruang kepada pemantauan atau penyalahgunaan data oleh pihak ketiga. Dalam masyarakat yang menghargai kebebasan dan privasi individu, isu ini wajar diberi perhatian.
“Walaupun terdapat pelbagai kekangan, usaha ke arah membentuk masyarakat tanpa tunai harus diteruskan secara berperingkat dan inklusif.
“Kerajaan, institusi kewangan, syarikat teknologi dan pertubuhan masyarakat perlu berganding bahu bagi memastikan tiada pihak tercicir. Pendidikan digital dan kesedaran keselamatan siber perlu diperkukuh.
“Pada masa sama, infrastruktur digital terutamanya di luar bandar harus dipertingkat agar akses kepada sistem ini dapat dirasai secara menyeluruh,” katanya.














