DUNIA pekerjaan kini semakin berkembang dengan penambahan cabang kecerdasan buatan (AI) dalam sektor teknologi.
Keperluan kepada tenaga pakar juga semakin meningkat susulan beberapa sektor ekonomi dan pembuatan telah meintegrasilkan AI dalam operasi mereka.
Susulan itu penyedia platform teknologi berkaitan AI turut mengambil langkah proaktif dalam menyediakan akses untuk masyarakat terhadap kemahiran dan pendidikan dalam bidang ini. Hal ini turut dilaksanakan oleh konglomerat teknologi, Microsoft yang melancarkan inisiatif AI untuk masa depan Malaysia (AIForMYFuture) yang bertujuan untuk melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran AI menjelang penghujung tahun 2025.
Menurut Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si, AIForMYFuture merupakan usaha serampang dua mata dalam menyokong usaha Kerajaan Malaysia untuk terus menggalakkan tenaga kerja di negara ini menambah ilmu dan menguasai kemahiran baharu serta memastikan penghasilan bakat yang mantap bagi pekerjaan berkaitan AI.
“Inisiatif ini sesungguhnya mencerminkan komitmen kami untuk meluaskan penggunaan AI dan memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan agar dapat berkembang maju dalam ekonomi AI Malaysia.
“Usaha ini adalah sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan menggalakkan penggunaan AI meliputi pelbagai sektor seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju AI Negara 2021-2025,” katanya pada Sidang Kemuncak Microsoft Cloud dan AI Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, indeks Trend Kerja 2024 Microsoft juga mendapati bahawa 84 peratus daripada pekerja Malaysia sudah menggunakan AI di tempat kerja yang membuka peluang besar untuk menyalurkan minat yang ditunjukkan bagi mencetus impak yang lebih meluas.

di Malaysia sudah menggunakan AI
di tempat kerja. – GAMBAR HIASAN
Kongsinya lagi, inisiatif tersebut turut melibatkan kerjasama rapat dengan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang akan dilancarkan tidak lama lagi, diterajui oleh Kementerian Digital untuk memacu agenda AI menerusi kerjasama rentas sektor.
Melalui AIForMYFuture juga, Microsoft akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan, industri, pendidikan dan masyarakat sivil untuk menyediakan peluang meningkatkan kemahiran AI di semua peringkat masyarakat.
Inisiatif ini akan menawarkan pengalaman pembelajaran yang disesuaikan untuk pelbagai kumpulan daripada pegawai kerajaan dan penjawat awam, profesional dalam industri utama, guru, pelajar, komuniti yang terpinggir hingga pencari kerja serta pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran mereka.
Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo turut berkongsi dalam ucapannya berkata, kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam transformasi AI dapat menjadikan cabang ini berkembang dengan lebih meluas di Malaysia.
“Perkembangan ini boleh melibatkan sektor pertanian di utara hingga industri semikonduktor di Pulau Pinang serta perniagaan di kawasan bandar dan usahawan di seluruh negara.
“Kerjasama ini akan menghasilkan hab ekonomi pintar dan ekosistem AI yang kondusif, satu ekosistem yang mendorong inovasi tempatan, membuka peluang, meningkatkan kebolehkerjaan dan akhirnya membawa manfaat kepada perniagaan serta rakyat,” ujar beliau.














