KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas pengendali Menara KL Sdn. Bhd. (MKLSB) dan induknya, untuk memulakan prosiding komital terhadap lapan individu termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Kerajaan Malaysia.
Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas berpuas hati Menara KL dan Hydroshoppe Sdn. Bhd. selaku pemohon gagal melepasi ‘ambang’ (threshold) yang mewajarkan permohonan menghina mahkamah dibenarkan.
Justeru dengan keputusan itu mahkamah turut memerintahkan MKLSB dan Hydroshoppe membayar kos berjumlah RM25,000 kepada semua defendan.
Dalam permohonan itu, MKLSB dan Hydroshoppe memohon tindakan menghina mahkamah terhadap semua pihak kerana didakwa mengganggu pentadbiran keadilan di tengah-tengah prosiding tindakan saman yang masih berjalan.
Sementara itu dalam prosiding sama, Hakim Roz Mawar turut menolak permohonan injunksi inter- parte oleh kedua-duanya terhadap lima pihak untuk menghalang penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master Sdn. Bhd.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Julai ini, bagi permohonan defendan-defendan termasuk Fahmi untuk membatalkan saman.
Pada prosiding hari ini, peguam Vinayak Sri Ram mewakili Hydroshoppe dan Menara Kuala Lumpur manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi hadir bagi pihak Kementerian Komunikasi, Fahmi dan kerajaan.
Sebelum ini, pada Mei lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas pengendali Menara Kuala Lumpur dan anak syarikatnya untuk mendapatkan injunksi ad-interim untuk menghentikan penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master Sdn. Bhd.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Collin Lawrence Sequerah, Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
MKLSB dan Hydroshoppe memfailkan saman pelanggaran kontrak terhadap responden, mendakwa LSH dan unitnya telah menyebabkan pelanggaran kontrak yang telah dipersetujui oleh syarikat (Hydroshoppe dan Menara KL) dengan kerajaan dalam satu mesyuarat pada Ogos 2022. – KOSMO! ONLINE