MOHD. NA’IM beramah mesra dengan jemaah haji Malaysia ketika melawat ke khemah penempatan jemaah di Arafah baru-baru ini.

Visa Mujamalah hak kerajaan Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KELMARIN hampir dua juta umat Islam yang dijemput menjadi Duyufurrahman selesai melaksanakan ibadah wukuf di Tanah Suci, seterusnya menyempurnakan Mabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar di ketiga-tiga jamrah sehingga hari ini.

Seperti kebiasaan, bagi musim haji 1446H/2025, Malaysia menerima kuota haji rasmi sebanyak 31,600 dengan kesemua kuota haji itu telah dipenuhi termasuk oleh jemaah yang membuat permohonan rayuan haji.

Pada masa sama, permohonan kuota tambahan terus diminta Malaysia kepada Arab Saudi bagi membolehkan lebih ramai umat Islam negara ini menjadi duyufurrahman dengan jawapan balas masih dinanti kerajaan.

Justeru, bagi mengupas lebih lanjut mengenai perjalanan musim haji 1446H/2025 termasuk jumlah rayuan dan isu jemaah terkandas, wartawan Kosmo! Ahad, RIDZAUDDIN ROSLAN berpeluang menemu bual Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar di Putrajaya baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Berapa ramai membuat rayuan haji dan berapa banyak kekosongan kuota yang ada?

MOHD. NA’IM: Bagi musim haji 1446H/2025M, Malaysia telah menerima kuota haji rasmi sebanyak 31,600 dan kesemua kuota haji itu telah dipenuhi terma­suk oleh jemaah yang membuat permohonan ra­yuan haji. Dalam konteks ini, lebih 87,000 permohonan rayuan haji telah diterima oleh pihak Tabung Haji (TH).
Tarikh permohonan rayuan dibuka bermula 19 Disember 2024 sehingga 28 April lalu.

Bagaimanapun, keutamaan bagi rayuan haji diberikan kepada mereka se­perti dalam kategori mengiringi mahram, jemaah lanjut usia dan orang kelainan upaya (OKU).
Selain itu, TH juga memberi perhatian kepada beberapa kriteria lain dalam memproses permohonan rayuan antaranya tahun mendaftar haji, jumlah simpanan dan jumlah kekerapan permohonan rayuan haji.

Oleh itu, semua permohonan rayuan diproses tertakluk kepada kekosongan setelah bakal haji dalam giliran ditawar menunaikan ibadah itu.
Jadi, jumlah kekosongan tidak tetap dari tahun ke tahun dan bergantung kepada jumlah bakal haji dalam giliran yang menolak tawaran. Walaupun tiada peruntukan khusus bagi rayuan haji, kebiasaannya kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan rayuan akan mene­rima tawaran haji.

 

MOHD. NAI’M menyatakan, lebih 87,000 permohonan rayuan haji diterima TH.

Adakah mereka yang telah menunaikan ibadah haji pada tahun sebelumnya boleh membuat rayuan?

Bagi jemaah pernah terpilih sebagai jemaah haji pada tahun-tahun sebelumnya, mereka boleh membuat permohonan sebagai pengiring mahram demi menjaga kebajikan jemaah terpilih tahun semasa.

Sejak tahun 2019, TH tidak membenarkan pendeposit ya­ng telah mengerjakan haji membuat pendaftaran haji semula bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Muslim Malaysia menunaikan haji.

Berapakah jumlah kuota tambahan yang dihantar Malaysia kepada Kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan lebih ramai dapat menunaikan haji?

Kerajaan Malaysia telah memohon penambahan kuota sebanyak 10,000 lagi daripada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan lebih ramai umat Islam Malaysia menunaikan haji.

Permohonan itu sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Arab Saudi.

Disebabkan peraturan pihak berkuasa Arab Saudi yang semakin ketat pada musim haji kali ini untuk mengekang isu tiada visa haji, apa saranan kepada jemaah dalam hal ini?

Saranan saya, bagi jemaah yang ingin mengerjakan ibadah haji, mereka haruslah mempunyai permit atau visa haji yang sah. Ini kerana, selain daripada menjamin keselamatan perjalanan ibadah haji itu sendiri, daripada sudut syarat istito’ah untuk menunaikan haji juga merujuk kepada kebenaran perjalanan.

Jadi, ini bermakna jemaah haji wajib mempunyai visa haji daripada kerajaan Arab Saudi.

Ia penting untuk menitikberatkan peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi kerana peraturan itu diwujudkan bagi mengelakkan daripada berlaku kebanjiran manusia yang akhirnya boleh menjadi ancaman kepada keselesaan, akses kepada kemudahan dan yang paling utama keselamatan semua jemaah haji sepanjang ibadah mereka.

UMAT Islam dari seluruh dunia mengambil peluang berdoa kepada Allah agar segala permintaan mereka dimakbulkan dan ibadah haji diterima ketika berwukuf di Arafah.

Pada tahun lepas dikatakan ada 300 bakal jemaah terkandas di Mekah kerana terper­daya dengan pakej haji murah yang ditawarkan pihak tidak bertanggungjawab. Apakah langkah-langkah dilakukan bagi mengekang kejadian sama tidak berulang?

TH sentiasa mengingatkan semua bakal jemaah haji untuk tidak terperdaya dengan pakej haji dengan tawaran harga yang tidak munasabah dan bukan ditawar oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan.

Walaupun, visa seperti mujamalah atau furada ini ialah kategori visa yang sah, namun ia adalah hak eksklusif kerajaan Arab Saudi dan berada di luar kuota haji rasmi. Adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana syarikat pelancongan atau pun individu yang tidak dilesenkan sebagai PJH untuk mengiklankan tawaran pakej haji berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Apa tindakan kepada pihak agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab memperdaya jemaah haji dan umrah. Adakah lesen mereka ditarik balik atau bagaimana?

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) adalah pihak bertanggungjawab terhadap sebarang isu bagi jemaah yang menunaikan ibadah umrah. Justeru, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) be­kerjasama rapat dengan pihak ­MOTAC bagi menangani isu ini secara tuntas.

Sekiranya didapati terdapat sebarang pelanggaran undang- undang oleh agensi pelancongan ini, mereka boleh dikenakan tindakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992.

Bagi urusan haji pula, mana-mana syarikat PJH yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan termasuk penggantungan atau pembatalan lesen PJH yang dikeluarkan oleh TH.

Apakah nasihat kepada bakal jemaah haji dan umrah yang menggunakan khidmat agensi pelancongan sebagai medium untuk menunaikan haji?

Saranan saya ialah mereka perlu semak dengan teliti sebarang pakej haji atau umrah yangditawarkan. Bagi urusan haji, jemaah perlu semak dan sahkan visa digunakan untuk pakej ditawarkan.

Hanya visa haji sah sahaja dibenar untuk jemaah me­laksana ibadah haji. Selain itu, semak status agensi bagi perkhidmatan haji disyorkan untuk menggunakan per­khidmatan PJH.

Adakah mereka yang mahu menunaikan haji dengan pakej agensi pelancongan tidak perlu menunggu giliran seperti mereka yang menggunakan khidmat TH untuk haji Muassasah?

Untuk makluman, semua rakyat muslim Malaysia yang ­ingin menunaikan haji perlu menerima tawaran haji yang dikeluarkan oleh TH berdasarkan giliran sistem pendaftaran haji.
Setelah menerima tawaran haji yang dikeluarkan TH, bakal jemaah mempunyai dua pilihan untuk menunaikan haji iaitu sama ada melalui TH sebagai jemaah muassasah atau pakej haji swasta yang dikendalikan oleh syarikat PJH yang dilesenkan oleh TH.

Setakat ini berapakah jumlah keseluruhan penyimpan yang berdaftar d engan Tabung Haji?

Setakat ini, TH mempunyai 9.61 juta pendeposit dan daripada jumlah tersebut kira-kira empat juta telah mendaftar haji.

Apakah penambahbaikan dan pembaharuan yang dilakukan bagi melancarkan perjalanan ibadah haji rakyat Malaysia pada tahun ini?

Pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi telah memberi keistimewaan kepada jemaah haji Malaysia apabila kita dipilih sebagai negara pertama untuk projek perintis Program Edaran Kad Nusuk di dalam negara sebelum sampai di Tanah Suci.

Jika tahun-tahun sebelumnya, Kad Nusuk iaitu kad identifikasi rasmi jemaah haji diserahkan kepada jemaah semasa berada di Arab Saudi, tetapi tahun ini sebahagian besar jemaah akan menerima Kad Nusuk sebelum berangkat ke Tanah Suci lagi. Inisiatif ini memudahkan jemaah dan menjimatkan masa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN