fbpx
Gaya eksekutifnya cukup menawan pada pandangan.

GLC 350 e 4MATIC Coupe gah atas jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GAYA eksekutif dengan gabungan teknologi canggih dan mesra alam menjadikan Mercedes-Benz GLC 350 e 4MATIC Coupe pilihan terbaik kepada pengguna.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah coupe ini akan menyerlahkan identiti si pemakai dengan reka bentuknya yang sporty dan prestasi tinggi.

Kecekapan bahan api melalui sistem kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) menjadikan GLC 350 e Coupe sebuah jentera yang bukan hanya bergaya tetapi memberikan pemanduan yang lancar dan responsif.

Kenderaan PHEV adalah sama seperti kenderaan hibrid yang masih memerlukan bahan api petrol tetapi dengan kebolehan untuk pengecasan semula bateri secara plug-in.

PHEV tidak bergantung sepenuhnya kepada pengecasan melalui brek regeneratif, dalam erti kata lain, kenderaan anda boleh menggunakan lebih banyak kuasa motor elektrik sekali gus pengguna mampu merasai lebih penjimatan petrol.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji varian PHEV daripada jenama automotif Jerman ini. Ternyata selepas merasai sendiri pemanduan, penulis kagum dengan teknologi canggih dalam GLC 350 e Coupe.

Satu perkataan, SUV mewah ini sangat jimat minyak dan rekaan ‘coupe’ sesuai dengan jiwa muda yang ingin nampak eksklusif ketika meluncur jentera ini di jalan raya.

GLC 350e Coupe ini dikatakan mampu mencapai jarak gerak 568 kilometer (km) untuk satu tangki penuh bahan api petrol.

Malah, jentera ini dilengkapi bateri berkapasiti 31kWh yang boleh dianggap besar bagi sebuah model PHEV yang mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 131km dalam mod elektrik sepenuhnya mengikut kiraan WLTP, satu jarak yang sangat kompetitif dan antara yang tertinggi dalam segmen PHEV.

Sepanjang enam hari memandu jentera ini, penulis memulakan perjalanan dari Wisma Mercedes di Puchong, Selangor seterusnya ke Muar, Johor dengan jarak perjalanan hampir 400km pergi dan balik, belum lagi ditambah perjalanan dalam bandar.

SUV premium ini dilengkapi skrin infotainment Mercedes- Benz User Experience.

Tangki minyak seakan tidak bergerak, memandangkan penulis memilih petrol sepenuhnya atau hibrid untuk pemanduan jarak jauh, manakala penggunaan elektrik bagi pemanduan bandar.
Itu merupakan kelebihan sistem PHEV yang ditawarkan, dengan penulis membuat pengecasan sekali sahaja di rumah sepanjang sesi pandu uji.

Ia menyokong pengecasan arus ulang alik AC 11kW, membolehkan bateri dicas penuh dalam masa dua jam sahaja.

Model ini bukan hanya gah pada nama tetapi sesuai sebagai kenderaan tenaga baharu yang mampu mengurangkan emisi karbon.

Dari segi kuasa, SUV PHEV ini dijana oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo dengan transmisi 9G-Tronic automatik.

Gabungan enjin dan transmisi tersebut mampu menghasilkan kuasa 204hp dan tork 320Nm.

Enjinnya turut digandingkan dengan sebuah motor elektrik dengan kuasa 100kW dan tork 440Nm, memberikan janaan kuasa keseluruhan bagi GLC 350e Coupe sebanyak 313hp dan tork 550Nm.

Sekadar makluman, varian ini boleh memecut dari pegun sehingga 100 km/j dalam masa 6.7 saat dan boleh mencapai kelajuan maksimum 218 km/j.

kenderaan jenis SUV ini bukan hanya bergaya tetapi memberikan pemanduan responsif.

Bagi pemandu wanita seperti penulis, GLC 350e Coupe amat mudah dikendalikan dengan pecutannya selari dan brek regeneratif model ini amat responsif.

Penggunaan Adaptive Air Suspension pada jentera ini menawarkan prestasi yang cukup seimbang dan stabil pada had laju tinggi selain kurang olengan ketika mengambil selekoh.

Rekaan luar model ini dilengkapi kelengkapan bodykit AMG Line, lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panaromik, rel bumbung aluminium serta rim AMG 20 inci multi-spoke.

Meninjau ruangan kabin, ia nampak sporty juga dengan bodykit AMG dan eksklusif berserta balutan kerusi kulit buatan Artico dan stereng balutan kulit Nappa.

SUV premium ini dilengkapi skrin infotainment Mercedes-Benz User Experience (MBUX) 11.9 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Andoid Auto tanpa wayar, panel instrumen 12.3 inci dan sistem audio Burmester 3D dengan 15 pembesar suara.

Model GLC terbaharu ini turut dilengkapi Driving Assistance Package Plus termasuk ciri keselamatan seperti bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta dan kamera 360 darjah.

Kesimpulannya, penulis berpandangan SUV premium ini amat berbaloi dimiliki untuk pengguna yang berjiwa muda tetapi mahukan suntikan eksklusif dengan tawaran harga RM425,888 atas jalan raya.

Lebih penting, sistem PHEV merupakan tawaran terbaik bagi pengguna yang memilih model ini dengan karakter pemanduan petrol, elektrik atau hidbrid yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian pemanduan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN