fbpx
Perunding imej profesional, Siti Azlia Idha Abdul Latif berkongsi memorinya menunaikan haji pada usia 24 tahun pada tahun 2006 kerana 'direzekikan' menemani ibunya yang uzur dan berkerusi roda.

‘Allah pilih saya di saat masih mentah, cari arah hidup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“JUJURNYA, pada usia semuda itu, saya belum benar-benar bersedia. Saya mengikuti kursus haji sekadar memenuhi syarat, sekadar hadir secara fizikal, namun hati dan jiwa masih jauh.

“Namun, semasa di Tanah Suci menunaikan haji itulah saya belajar erti mujahadah.”

Itu yang diungkapkan wanita bertuah ini tatkala mengimbas peristiwa dijemput Allah bagi menunaikan ibadah haji ketika usianya baru menginjak 24 tahun pada tahun 2006 demi menemani ibunya yang uzur ke Tanah Suci.

Akui Siti Azlia Idha Abdul Latif, 43, hanya ketika di dalam pesawat, barulah dia tersedar bahawa dia sedang dalam perjalanan menunaikan rukun Islam kelima.

“Pada tahun 2006 atau hampir dua dekad lalu, ketika usia 24 tahun, saya berpeluang berangkat menunaikan haji.

“Ketika itu, ibu saya diserang strok (angin ahmar) dan baru sahaja boleh bergerak, tetapi masih memerlukan penjagaan rapi.

“Kebetulan, saya satu-satunya anak yang tersedia dan berkelapangan waktu itu kerana adik-beradik lain masih belajar dan terikat dengan kerja.

“Maka, saya yang terpilih untuk menemani ibu ke Tanah Suci,” katanya yang kini merupakan seorang perunding imej profesional berjaya yang turut dikenali dengan bakat berkuda.

Siti Azlia Idha juga pernah menghiasi muka depan majalah Harmoni pada tahun 2018 sebagai inspirasi wanita.

Ditanya apa yang dirasakan semasa hendak menunaikan haji itu, anak kedua daripada enam beradik ini menyatakan, perasaannya bercampur baur.

Takut, resah, sebak semuanya menjadi satu. Pun begitu, semua rasa tersebut seolah-olah lenyap entah ke mana tatkala dia menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Berkongsi cabaran dihadapi sepanjang berada di Tanah Suci, Siti Azlia Idha yang pernah berkhidmat sebagai arkitek selama tiga tahun usai tamat pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, cabaran pasti ada dan tidak boleh dielakkan di situ.

Antaranya termasuklah menjaga ibunya yang uzur dalam suasana haji akbar (ibadah haji yang wukufnya bertepatan hari Jumaat) yang begitu mencabar fizikal dan emosi.

Menemani ibu yang berkerusi roda, akui Siti Azlia, setiap pergerakan memerlukan perhatian dan tenaga berganda.

“Saya perlu memastikan ibu cukup rehat, makan dan tidak tercicir daripada ibadah wajib, dalam masa yang sama menjaga keperluan diri sendiri.

“Ia benar-benar mengajar saya erti sabar, ikhlas dan kasih sayang yang mendalam,” katanya.

siti AZLIA membangunkan platform perkasa wanita Queen Persona yang turut disertai golongan selebriti.

Keduanya, jelas ibu kepada dua cahaya mata itu, persiapan rohani yang belum matang sepenuhnya ketika itu turut menjadi antara cabaran besar buat dirinya.

Terangnya, ketika usia 24 tahun, dia mengakui persediaannya lebih bersifat luaran iaitu hadir ke kursus haji sekadar memenuhi syarat.

“Hati masih belum benar-benar bersedia. Namun, cabaran ini menjadi titik perubahan di bumi suci.

“Allah ‘didik’ saya secara langsung. Perlahan-lahan saya mula memahami bahawa ibadah haji bukan sekadar ritual, tapi perjalanan penyucian jiwa yang mendalam,” tuturnya.

Siti Azlia Idha berkata, cabaran paling tidak boleh dilupakannya adalah ketika diuji dengan kesesakan dan pergerakan manusia yang mendesak dari segi fizikal.

Katanya, kesesakan jutaan manusia memerlukan ketahanan tinggi dan menjadi cabaran harian buatnya.

“Saya perlu menolak kerusi roda ibu dan berjalan jauh. Dalam suasana seperti ini, ujian emosi juga mudah datang seperti marah, letih dan kecewa.

“Namun di sinilah saya belajar erti mujahadah iaitu melawan diri sendiri untuk kekal sabar, reda dan fokus kepada ibadah,” kata wanita kelahiran Seremban itu.

Ditebak berkenaan gelaran ‘hajah’ ketika usianya baru 24 tahun, akui wanita ini, dia hanya menurut suratan takdir menemani ibunya yang uzur, bukan kerana dia merancang untuk menunaikan haji pada usia muda.

“Namun, Allah memilih saya terlebih dahulu, dalam keadaan saya masih mentah dan mencari arah hidup.

“Gelaran hajah itu bukan sekadar nama, ia adalah amanah, satu panggilan jiwa untuk hidup dengan lebih sedar, taat dan lebih bertanggungjawab.

“Ditanya perbezaan sebelum bergelar ‘hajah’, hidup saya lebih kepada dunia luar seperti bisnes, gaya hidup dan mencari siapa diri saya.

“Tetapi selepas pulang dari Tanah Suci, ada sesuatu yang berubah. Pandangan saya tentang hidup menjadi lebih dalam.

“Saya mula melihat setiap perkara sebagai sebahagian daripada ujian dan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah,” ungkapnya.

SITI AZLIA merupakan perunding imej profesional yang telah bergiat sejak lebih sedekad lalu.

Jelasnya, kini yang tinggal hanyalah ketenangan yang sukar diungkapkan lebih-lebih lagi berpeluang diamanahkan Allah menjaga ibunya dengan penuh tanggungjawab di bumi barakah itu.

Beralih kepada kisah kerjayanya, Siti Azlia Idha pada awalnya merupakan seorang arkitek sebelum menjadi usahawan butik diikuti menjadi perunding imej profesional sejak tahun 2014.

Jelasnya, dia juga merupakan pengasas Queen Persona yang diwujudkan ketika perintah kawalan pergerakan pada tahun 2020. Ia merupakan satu kumpulan berkonsepkan ‘women empower women’ dan hingga kini lebih 500 wanita telah menyertai program dianjurkan.

“Minat saya dalam bidang penampilan diri mula bercambah ketika mengusahakan perniagaan butik Get Gorgeous sebelum itu.

“Ramai pelanggan yang datang bukan sekadar membeli pakaian, tetapi juga bertanya tentang cara berpakaian yang sesuai dengan personaliti dan bentuk tubuh mereka.

“Dari situ, saya mula sedar bahawa penampilan bukan hanya soal fesyen, tetapi juga soal keyakinan diri.

“Suatu hari, seorang kenalan menawarkan saya peluang untuk memberi ceramah kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berkaitan penampilan dan imej diri khususnya untuk menghadapi sesi temu duga dan dunia korporat.

“Daripada pengalaman itulah saya pertama kali mengenali kerjaya sebagai perunding imej dan terus jatuh hati.

“Saya sedar, inilah bidang yang saya ingin terokai secara lebih mendalam dan profesional,” katanya.

Tidak sekadar sebagai perunding imej bertauliah, wanita yang memegang prinsip hidup: ‘Tak hidup dek puji, tak mati dek keji’ ini turut aktif dalam sukan berkuda.

Pelbagai penyertaan dan kejayaan pernah dimenangi menerusi sukan memanah berkuda yang disertainya itu.

“Kejayaan sebenar adalah bila saya dan pasukan berjaya membuka ruang melalui program Srikandi Queen Persona dan ratusan wanita telah menyertai bagi merasai kekuatan sebenar diri mereka.

“Melihat mereka bersemangat, menunggang kuda buat kali pertama, menarik busur dengan yakin dan percaya semula pada potensi diri, itulah kemenangan sebenar bagi saya.

“Bukan menang di podium, tetapi dalam jiwa-jiwa wanita Queen Persona yang menyertainya,” katanya.

Berkongsi perancangan selepas ini, Siti Azlia Idha memberitahu, fokusnya adalah membina legasi pemerkasaan wanita melalui platform Queen Persona.

Impiannya mahu menjadikan Queen Persona sebagai pusat latihan dan komuniti khusus untuk wanita yang mahu menggabungkan kekuatan fizikal, mental dan spiritual melalui aktiviti seperti berkuda, memanah, kelas imej, serta bengkel kepimpinan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN