PETALING JAYA – Di sebalik gelaran sebagai ketua keluarga, masih terdapat segelintir lelaki yang culas memberi nafkah kepada pasangan dan anak-anak sehingga tanggungjawab tersebut diambil alih oleh golongan isteri.
Keadaan itu dilihat membimbangkan apabila semakin ramai isteri tampil mendedahkan bahawa mereka tidak tahan menjadi penanggung tunggal apabila ‘dipergunakan’ suami untuk mencari rezeki walaupun pasangan sihat dan layak untuk bekerja.
Seorang wanita dikenali sebagai Syazwani, 46, berkata, dia sudah 16 tahun tinggal bersama suami yang tidak bekerja dengan segala perbelanjaan termasuk komitmen hutang ditanggung seorang diri.
“Saya penat dan kecewa, walaupun sudah 16 tahun berkahwin, hanya saya seorang yang bekerja siang dan malam, tetapi dia (suami) pula goyang kaki,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurut eksekutif pentadbiran itu, hampir separuh daripada pendapatan bulanannya sebanyak RM5,000 digunakan untuk menampung perbelanjaan suami yang menganggur.
Katanya, sewaktu mula berkahwin, suaminya bekerja di syarikat swasta sebelum menyertai e-hailing, namun hanya separuh jalan.
“Paling lama pun sebulan, selepas itu dia berhenti,” ujarnya.
Lebih menyedihkan, Syazwani berkata, suaminya langsung tidak membantu melakukan kerja-kerja rumah, sebaliknya bangun lewat dan kerap mencari alasan apabila ditegur.
“Saya keluar rumah pada pukul 7 pagi, pulang malam. Bila tanya fasal kerja dia beritahu tidak jumpa (pekerjaan) yang sesuai sedangkan dia tidak berusaha mencari,” ujarnya.
Lebih membebankan, Syazwani turut menanggung ibunya yang sakit.
“Sebelum ini suami dimanjakan oleh ibu bapanya. Walaupun sudah berkahwin mereka masih memberikan wang belanja kepada suami walaupun jumlahnya tidak banyak,” katanya.
Wanita itu kini dalam dilema sama ada mahu terus bertahan sebagai isteri provider demi anak-anak atau melangkah keluar daripada perkahwinan.
“Saya rasa seperti dibuli secara emosi dan kewangan. Tapi saya masih fikir tentang anak-anak, namun sampai bila perlu tanggung semua?” katanya.
Seorang lagi isteri dikenali sebagai Zila, 38, mendedahkan, dia kini dalam proses untuk memfailkan perceraian kerana tidak tahan tinggal sebumbung dengan suami yang dianggap ‘penumpang hidup’.
“Sejak awal perkahwinan hanya saya seorang yang bekerja, manakala dia tidur. Dia pernah menggunakan kad bank saya tanpa izin untuk membeli barangan seperti telefon bimbit, kasut berjenama dan set audio berjumlah RM4,000.
“Bila ditanya, dia suruh saya bayar. Memang remuk hati kerana saya berkahwin untuk bahagia, bukannya ‘diperah’ seperti mesin wang,” katanya.
Liana, 42, pula memberitahu, dia sudah tidak tahan bersuamikan lelaki yang bukan sahaja culas dalam memberi nafkah, tetapi cemburu buta.
“Semua urusan anak-anak dan makan minum saya sediakan selama lebih 15 tahun berkahwin kerana suami terlalu berkira.
“Sehingga kini wang gaji saya seorang digunakan untuk keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami untuk menafkahi kami. Syukur kami akhirnya kami berpisah,” katanya.















