fbpx
DR. RUHIL kini mampu tersenyum apabila berjaya memiliki klinik estetik sendiri.

K2

‘Estetik bukan soal kecantikan semata-mata’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“ALHAMDULILLAH, setelah melalui pelbagai fasa jatuh bangun, kini syarikat ini mampu berdiri kukuh dan bakal memiliki tiga klinik serta pasukan profesional berdedikasi.

“Kami juga telah membantu ribuan pelanggan mendapatkan keyakinan diri melalui rawatan estetik berkualiti tinggi yang selamat dan berkesan.

“Paling membanggakan, syarikat kami tersenarai antara pusat estetik yang paling dipercayai pelanggan di Lembah Klang, selain menerima beberapa pengiktirafan industri.”

Itu kata-kata yang diungkapkan oleh wanita hebat kelahiran Ipoh, Perak ini tatkala memulakan bicara mengenai kisah kejayaan dikecapinya kini.

Rawatan estetik bertumpu pada anatomi dan fisiologi serta struktur asas kulit. Matlamat utama rawatan ialah untuk mengubah penampilan kulit yang biasa supaya memenuhi kepuasan pelanggan.

Menurut Dr. Ruhil Hayati Nordin, 36, sebelum terlibat secara aktif dalam industri estetik, dia berkhidmat sebagai doktor perubatan selama 10 tahun.

Jelasnya, minat mendalam terhadap bidang estetik mula berputik apabila dia melihat ramai individu kurang keyakinan diri akibat masalah kulit atau penampilan fizikal.

“Saya percaya kecantikan dan kesihatan saling berkait. Dari situ, saya mula mengikuti kursus estetik perubatan dan sedikit demi sedikit saya membina jenama sendiri.

“Minat dalam keusahawanan pula datang secara semula jadi kerana saya gemar mencipta impak dan peluang. Bukan sahaja untuk diri sendiri, malah kepada wanita lain di luar sana,” katanya.

Berbekalkan keberanian dan semangat, dia membuka sebuah klinik estetik dikenali sebagai Renora Clinic pada tahun 2021. Ketika awal penubuhan klinik tersebut, ramai memandang sinis keputusannya itu.

Jelasnya, dunia estetik sering dikaitkan dengan kecantikan semata-mata, sebaliknya ia juga merupakan sebahagian daripada rawatan kesihatan dan mampu memulihkan keyakinan diri seseorang.

Enggan mengambil pusing persepsi yang ‘dilemparkan’ itu, Dr. Ruhil terus bersemangat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

Hasilnya, ibu kepada dua cahaya mata lelaki itu kini mampu tersenyum apabila menjadi pengarah urusan kepada syarikat yang memiliki seramai 30 staf.

Suami dan anak-anak merupakan insan yang sentiasa memberi sokongan kepada Dr. Ruhil.

Ketika ini, syarikat milik Dr. Ruhil mempunyai dua klinik estetik yang berpangkalan di sekitar Lembah Klang.

“Saya bukan hanya bangunkan satu, tapi dua dan bakal ada tiga cawangan Renora Clinic. Setiap satunya lahir daripada cabaran, air mata dan doa ibu, suami serta anak anak.

“Bukan mudah bergelar ibu, isteri dan pemilik perniagaan dalam satu masa. Namun, hati ini tetap pilih untuk terus mencuba.

“Ramai wanita rasa perlu letak tepi impian apabila sudah menjadi ibu. Saya nak ubah naratif itu. Kita boleh menjadi ibu yang baik dan wanita berjaya secara serentak,” katanya.

Tidak sekadar itu, Dr. Ruhil juga telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai doktor pakar bahagian estetik dan laser (LCP).

Berkongsi cabaran lain, paling diingati Dr. Ruhil adalah ketika pandemik Covid-19 melanda negara. Menurutnya, operasi perniagaannya terhenti, tetapi kos operasi tetap berjalan seperti biasa.

“Ramai dalam industri ini gulung tikar, namun saya berpegang pada prinsip bahawa setiap krisis ada peluang.

“Saya manfaatkan waktu itu untuk melatih semula staf, memperkemaskan prosedur operasi standard dan membina semula strategi digital kami.

“Alhamdulillah, selepas pandemik kami bangkit dengan lebih kuat,” katanya.

Mengenai hala tuju, dia memberitahu, dalam masa lima tahun akan datang, syarikatnya menyasarkan mempunyai sekurang-kurangnya 10 cawangan serta pusat latihan tersendiri.

Dr. Ruhil juga bercadang meluaskan perniagaannya dalam penjagaan kesihatan wanita dan produk kesihatan semula jadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN