fbpx

15 tahun GETB perluas capaian takaful

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Great Eastern Takaful turut aktif menyantuni komuniti orang asli dan masyarakat luar bandar demi capaian takaful inklusif.

KUALA LUMPUR – Kewujudan jurang dalam literasi kewangan di kalangan rakyat Malaysia se­ring dikaitkan sebagai faktor yang mengakibatkan kadar penembusan takaful kekal rendah, hanya sekitar kurang 20 peratus setakat tahun 2024.

Berdasarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, 52 peratus daripada rakyat Malaysia berasa sukar untuk menyediakan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan, menggariskan keperluan kepada perlindungan kewangan terutama bagi golongan yang rentan terhadap cabaran atau perubahan ekonomi.

Sementara itu, menurut Persatuan Takaful Malaysia (MTA), kadar penembusan takaful kekal stabil pada 19.57 peratus ketika jumlah penduduk meningkat sebanyak 700,000 orang tahun lalu, jauh daripada sasaran agenda transformasi industri, Hijrah27 supaya kadar tersebut berkembang dua kali ganda menjelang tahun 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Berhad (GETB), Shahrul Azlan Shahriman berkata, masih banyak yang perlu dilakukan industri bagi memastikan setiap anggota masyarakat mempunyai akses mudah kepada perlindungan takaful, terutamanya bagi segmen B40 dan M40.

Jelasnya, memasuki tahun ke-15 operasi pada 2025, syarikat akan terus memfokuskan kepada keterangkuman dan literasi kewangan, sambil meningkatkan capaian takaful kepada segmen komuniti yang kurang diberi perhatian.

“Antara inisiatif yang kami rasa agak berjaya tahun ini ialah menerusi penggunaan platform TikTok kerana kita tahu semakin ramai komuniti gemar meluangkan masa lapang di saluran ini.

“Masyarakat sekarang mencari maklumat di media sosial dan bukan lagi enjin carian internet. Di TikTok mereka boleh mengeks­presikan diri dalam cara yang mereka suka dan setakat ini, kami berjaya mencapai kira-kira dua juta tontonan menerusi TikTok Live.

“Antara kandungan yang ditonjolkan ialah berkenaan info celik kewangan, iaitu kami menyebarkan maklumat tentang mikrotakaful, Skim mySalam dan kepentingan perlindungan takaful.

“Bagi capaian fizikal, untuk satu seminar kami mungkin mampu mencapai sehingga 500 orang, namun dalam satu sesi TikTok Live sahaja kami boleh mencapai 20,000 hingga 30,000 tontonan dalam tempoh sejam.

“Penonton juga bertanya pelbagai soalan dan kami boleh menjawab serta-merta. Dalam seminar di luar, kadang-kadang audiens malu untuk bertanya. Jadi, ini adalah cara yang sangat interaktif untuk berkomunikasi dengan masyarakat,” katanya kepada pemberita di Menara Great Eas­tern di sini baru-baru ini.

Dalam masa sama, GETB meneruskan usaha ‘masuk kampung’ sehingga ke kawasan pedalaman dan penempatan orang asli bersama pasukan mySalam supaya tiada yang ketinggalan untuk beroleh akses kepada manfaat perlindungan takaful, yang berasaskan prinsip kerjasama dan perlindungan bersama.

“Masyarakat luar bandar ini adakalanya kurang mendapat perhatian, kerana sesetengah pihak berpandangan mereka ini kurang kuasa beli dan kemampuan dari segi kewangan, namun pandangan ini tidak semestinya tepat.

“Kumpulan ini sebenarnya terbuka untuk mendapatkan perlin­dungan setelah beroleh keseda­ran mengenai kepentingan takaful.

“Namun untuk meyakinkan mereka terdapat beberapa cabaran antaranya dalam aspek komunikasi, apabila dialek dan lenggok bahasa yang sesuai amat penting seperti untuk komuniti di pedalaman misalnya di negeri Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Bagi GETB, kami memiliki kekuatan lebih 10,000 perun­ding takaful dari pelbagai latar belakang di seluruh negara yang mampu menjadi penghubung kepada komuniti ini,” ujar Shahrul.

Tambah beliau, sepanjang hampir 15 tahun operasi sejak diwujudkan pada 2010, antara pencapaian utama GETB adalah menyediakan perlindungan kepada lebih sejuta penduduk Malaysia.

Produknya yang paling popular ialah pelan kesihatan takaful keluarga komprehensif, i-Great Evo yang menyediakan perlin­dungan bermula daripada RM50 sebulan.

Sementara produk perlindungan mikrotakaful GETB, iaitu MikroSayang menawarkan enam jenis pelan takaful dalam talian pada bayaran serendah RM50 setahun.

Selain itu, GETB merupakan pentadbir skim perlindungan kesihatan kebangsaan, mySalam di bawah penyeliaan Kementerian Kewangan Malaysia. Sejak pengenalannya pada tahun 2019, skim ini telah menyalurkan tuntutan dan bantuan kewangan berjumlah RM1.1 bilion kepada lebih 1.6 juta rakyat Malaysia setakat 31 Disember lepas.

Baru-baru ini, mySalam telah memperluaskan perlindungannya untuk merangkumi 50 penyakit kritikal berbanding 45 sebelum ini dan antara penambahan ialah perlindungan untuk Penyakit Jarang Jumpa yang menjadikannya skim takaful pertama di Malaysia untuk memberikan bantuan kewangan kepada individu yang didiagnosis dengan keadaan ini.

Empat lagi penyakit kritikal yang ditambah meliputi penyakit gangguan mental seperti Skizofrenia dan Bipolar, penyakit darah termasuk Talasemia Major dan Anemia Aplastik, penyakit kulit kronik seperti Psoriasis dan Pemphigus Vulgaris, serta penyakit reumatoid seperti Artritis Reumatoid.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman beliau selama lebih 20 tahun dalam industri perbankan dan takaful, Shahrul berkata, antara perkara yang paling dikesalinya adalah apabila ramai daripada anggota masyarakat yang suka bertangguh untuk mendapatkan perlindungan takaful atas sebab-sebab tertentu.

Sedangkan mereka ini memiliki kemampuan dari segi kewangan, dan punya kesedaran mengenai kepentingan perlindungan takaful bukan hanya untuk diri sendiri, malah buat keluarga dan orang tersayang.

“Sudah terlalu banyak insiden berlaku apabila mereka tidak sempat mengambil perlindungan sebelum terlibat dalam kejadian tidak diingini. Kejadian seperti ini turut terjadi kepada kenalan terdekat saya sendiri, dan sudah terlalu banyak cerita daripada rakan-rakan dalam industri.

“Bagi mereka yang punya ke­sedaran dan berkemampuan, tidak perlulah berlengah untuk mendapatkan perlindungan.

“Hari ini, semuanya boleh dilakukan dengan segera dan di mana-mana sahaja, untuk GETB sekurang-kurangnya, semua titik jualan kami adalah berasaskan digital,” katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.greateasterntakaful.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI