fbpx
Siti (kanan) hadir pada sidang akhbar di pejabat MHO di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh MOHD FAHMI ISMAIL

Ingat boleh tolong, rupanya ‘kebas’ duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Ke mana hilangnya wang RM234,000 yang dibayar untuk melangsaikan hutang along?.”

Itu persoalan yang menghantui seorang wanita dikenali Siti, 50-an apabila mendakwa menjadi mangsa penyelewengan selepas wang ratusan ribu ringgit yang diserahkan kepada seorang perunding bagi tujuan penyelesaian hutang, dipercayai tidak disalurkan sepenuhnya kepada syarikat pinjaman terbabit.

Lebih mengejutkan, daripada jumlah keseluruhan RM234,000 yang dibayar secara berperingkat, hanya RM76,700 diserahkan kepada pihak pemberi pinjaman, manakala baki RM157,690 kini masih dituntut oleh along berkenaan.

Kata Siti, beliau membuat bayaran secara berperingkat selepas diyakinkan bahawa semua urusan rundingan dan penyelesaian hutang akan diuruskan sepenuhnya oleh individu tersebut.

“Saya percaya dan ikut sahaja apa yang diminta kerana mahu masalah ini selesai dengan baik. Dia berjanji akan berunding dengan pihak pemberi pinjaman sehingga semuanya selesai,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.

Menurut Siti, selepas menyerahkan sejumlah besar wang, beliau mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila dimaklumkan masih terdapat baki hutang yang belum dijelaskan.

“Saya terkejut apabila diberitahu hanya sebahagian bayaran diterima. Sedangkan jumlah yang saya sudah bayar mencecah RM234,000,” ujarnya.

Tambahnya, individu terbabit turut meminta bayaran tambahan dari semasa ke semasa atas alasan kos pengurusan dan caj rundingan.

Kecewa dan berasa tertipu, bekas pengusaha sebuah stesen minyak itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishammuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kes tersebut dan akan membantu mangsa mendapatkan pembelaan sewajarnya.

Menurut beliau, kes melibatkan individu yang menawarkan khidmat penyelesaian hutang tetapi disyaki menyeleweng wang pelanggan semakin membimbangkan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan latar belakang secara teliti dan tidak mudah mempercayai mana-mana pihak yang menawarkan khidmat penyelesaian hutang tanpa dokumen dan perjanjian yang jelas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN