fbpx
Kerja-kerja pemasangan 48 panel solar pada landasan kereta api dilakukan dengan penuh berhati-hati di Buttes, Neuchatel, Switzerland.

Landasan kereta api jadi loji tenaga solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DERETAN panel solar tersusun rapi di kawasan tanah lapang menjadi panorama biasa memandangkan peralatan itu perlu ‘menangkap’ cahaya matahari sebelum menukarkannya kepada arus elektrik.

Bagaimanapun, sebuah syarikat pemula dari Switzerland, Sun-Ways menggunakan pendekatan berbeza apabila menjadikan landasan kereta api sebagai tempat untuk meletakkan panel solar, sekali gus menjadi loji jana kuasa fotovoltaik (PV).

Inovasi diperkenalkan oleh syarikat tersebut dipercayai menjadi teknologi solar pertama di dunia yang menggabungkan infrastruktur pengangkutan dengan penjanaan tenaga hijau.

Selain dapat menjimatkan ruang, inovasi itu turut membuka peluang kepada sistem mobiliti yang menyokong kepada peralihan tenaga baharu.

Pengasas Sun-Ways, Joseph Scuderi menjadi individu yang bertanggungjawab dalam membangunkan projek tersebut dengan meletakkan panel solar sejauh 100 meter (fasa awal) di atas landasan kereta api di kawasan perkampungan Buttes, Neuchatel, Switzerland.

Katanya, kawasan lapangan sering menjadi kekangan untuk membangunkan tenaga solar.

SCUDERI memeriksa kawasan panel solar yang dipasang di sepanjang landasan kereta api.

Situasi itu telah mendorong dirinya untuk berusaha mencari solusi baharu bagi mengatasi permasalahan meletakkan panel solar.

“Saya mula mendapat idea untuk meletakkan panel solar pada landasan kereta api ketika sedang menunggu di stesen kereta api pada tahun 2020.

“Di situ saya terfikir, kita boleh menggunakan ruang kosong di tengah rel untuk sesuatu yang boleh memberi faedah kepada masyarakat,” katanya dalam media tempatan, Swissinfo.ch.

Tanpa berlengah, Scuderi membulatkan tekad untuk berusaha membangunkan teknologi berkenaan, meskipun ketika itu dunia sedang dilanda masalah pandemik Covid-19.

Ujar Scuderi, syarikatnya merupakan organisasi pertama yang mereka bentuk sistem panel solar boleh tanggal pada laluan kereta api.

Bagaimanapun, dia tetap berdepan cabaran kerana kedudukan landasan kereta api terletak berhampiran laluan pejalan kaki.

Jadi, terdapat kemungkinan bahagian atas panel akan rosak apabila dipijak oleh orang yang lalu-lalang di situ.

KERETA api boleh bergerak pada kelajuan maksimum 70 km/j.

Bagi memastikan keselamatan dan ketahanan panel solar tersebut, kelajuan maksimum kereta api ketika melalui kawasan tersebut ditetapkan pada 70 kilometer per jam (km/j).

Fasa ujian panel solar tersebut akan berlangsung selama tiga tahun selepas dilancarkan penggunaannya pada 24 April lalu.

“Kepingan panel solar dihasilkan dengan bahan tahan lasak yang mampu bertahan dengan cuaca. Malah, ia tidak memberi kesan negatif terhadap sebarang tekanan.

“Sebagai langkah permulaan, panel solar telah dipasang sejauh 100 meter bersamaan 48 panel solar di landasan kereta api yang diperbuat daripada rel keluli di perkampungan Buttes.

“Panel solar dipasang secara mekanikal dengan menggunakan mesin daripada syarikat penyelenggaraan tempatan, Scheuchzer,” kata Scuderi.

Menarik mengenai projek tersebut, penal direka untuk kekal di landasan meskipun gerabak kereta api melalui kawasan tersebut.

“Panel solar telah direka khusus dengan keupayaan untuk mengalihkan sel fotovoltaik dengan mudah bagi membolehkan kerja penyelenggaraan atau penggantian landasan dibuat.

“Sebanyak AS$704,600 (RM3.3 juta) telah dibelanjakan untuk menjayakan projek awal panel solar di Buttes ini.

“Kuasa elektrik yang dijana oleh panel ini akan disalurkan ke grid (sistem janakuasa) tempatan. Ia mampu menghasilkan sehingga 16,000 kilowatt jam (kWj) elektrik setahun bagi kegunaan empat isi rumah,” ujarnya.

Scuderi menaruh harapan tinggi terhadap projek tersebut memandangkan Switzerland memiliki kira-kira 5,320 kilometer rangkaian laluan kereta api (tidak termasuk kawasan terowong atau pencahayaan matahari rendah).

Jika semua laluan itu ditempatkan panel solar, ia mampu menjana 1 bilion kWj kuasa suria setahun.

Ia sepadan dengan penggunaan 300,000 isi rumah atau dua peratus daripada tenaga elektrik yang digunakan di negara itu.

Ujar Scuderi, Switzerland meletakkan sasaran untuk menjadikan sumber tenaga boleh diperbaharui sebagai tenaga elektrik negara itu menjelang tahun 2035.

Bagi merealisasikan matlamat itu, negara tersebut perlu menghasilkan tujuh kali ganda lebih banyak tenaga suria berbanding yang ada ketika ini.

“Disebabkan itu, projek menggunakan landasan kereta api sebagai tempat meletak panel tenaga solar cukup menarik, selain mampu memelihara kawasan tanah,” kata Scuderi.

Sementara itu, penyelidik sistem tenaga suria daripada Institut Fraunhofer, Martin Heinrich turut menyokong projek panel solar di landasan kereta api kerana dapat menjaga alam semula jadi.

“Pemasangan panel solar pada landasan kereta api merupakan idea yang bagus dan bijak kerana ia tidak memerlukan kawasan lain untuk dijadikan tapak panel solar.

“Biasanya, panel solar memerlukan kawasan tanah lapang yang luas. Selalunya, ia melibatkan kawasan pedalaman atau perlu membuka tanah baharu.

“Ini akan menyebabkan banyak kemusnahan tumbuh-tumbuhan dan memberi ancaman kepada haiwan liar. Kawasan itu juga boleh digunakan untuk manfaat lain,” terang Heinrich.

Selain memberi manfaat kepada alam semula jadi, panel solar tersebut mampu menyalurkan tenaga elektrik ke kawasan rumah berdekatan.

Menurut juruteknik tenaga solar, Samuel Smith, terdapat beberapa peringkat teknikal untuk memastikan tenaga elektrik yang terhasil dapat digunakan.

Memetik laporan SwissTech News, Smith memberitahu, panel solar yang dipasang di antara rel kereta api akan ‘menangkap’ cahaya matahari, sebelum menukarnya kepada tenaga elektrik berbentuk arus terus (DC).

Inverter akan menukar DC ke arus ulang-alik (AC), sebelum diselaraskan dengan keperluan grid elektrik biasa.

“Tenaga AC yang telah ditukarkan akan disambung ke grid elektrik tempatan melalui penyambung grid kecil (substation) yang terletak berhampiran landasan.

“Dari grid ini, elektrik disalurkan mengikut keperluan ke rumah-rumah, bangunan atau infrastruktur berhampiran,” terangnya.

Smith turut memberitahu, bekalan elektrik yang dihasilkan menerusi tenaga solar mampu mengurangkan kos tarif elektrik.

Bagaimanapun, ia bergantung pada dasar subsidi atau tarif tenaga boleh diperbaharui.

“Secara ringkasnya, panel solar akan menghasilkan tenaga, kemudian berpindah ke inverter untuk tukar kepada AC.

“Ia seterusnya akan disalur ke substation tempatan untuk digunakan oleh isi rumah.

“Sumber tenaga solar seperti ini adalah satu langkah pintar untuk memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui tanpa menjejaskan tanah lapang atau pemasangan di setiap rumah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN