fbpx

‘Tolonglah sensitif, saya tak pernah letih mengandung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISTERI Fizo, Fazeera menyelar segelintir kaum wanita yang sesuka hati mempertikaikan rezekinya kerap hamil dan menimang anak ketiga tidak lama lagi.

PETALING JAYA – “Saya langsung tidak rasa letih mengandung banyak kali kerana mendapat sokongan yang kuat.”

Demikian penegasan isteri kepada pelakon, Fizo Omar, Fazeera Nazri apabila kerap diajukan soalan tentang kehamilannya yang dikatakan terlalu rapat.

Fazeera atau nama lengkapnya Fazeera Nazri Azrai, 29, meluahkan rasa kecewa apabila soalan sebegitu dilontarkan golongan wanita sendiri yang disifatkannya sebagai tidak menjaga sensitiviti.

“Saya ingin pesan di sini, tolong jaga sensitiviti orang lain. Saya sering dihujani dengan soalan tidak penat ke hamil, suami tidak jaga peranakan ke, suami tidak kisah kesihatan mental ke?

“Saya sangat kecewa dengan soalan-soalan sedemikian sampai tidak tahu macam mana mahu menjawabnya.

“Kenapa mesti soalan begitu datang dari kaum wanita, adakah wanita sendiri mahu melihat wanita lain jatuh?

“Jarang soalan begini diajukan lelaki. Tolong hormat keputusan orang lain,” katanya dalam satu hantaran video menerusi TikTok.

Isteri kepada pelakon drama Cinta Buat Emelda itu bersyukur dikurniakan zuriat  ramai dan tidak menganggap kehamilan sebagai bebanan.

“Saya tidak rasa yang mengandung ini memberikan saya satu beban dan memberi keletihan melampau.

“Saya tidak pernah tunjuk diri saya menyesal beranak ramai dan ada anak yang rapat. Sebaliknya saya tunjuk kegembiraan selain syukur dalam media sosial,” katanya.

Fazeera dinikahi Fizo pada 21 Oktober 2021 dan memiliki dua anak perempuan iaitu Wan Khaleeda, 3, dan Wan Umaira, 2.

Februari lalu, Fizo memaklumkan isterinya kini kembali berbadan dua dan bakal melahirkan cahaya mata ketiga tidak lama lagi.

Sebelum bersama Fazeera, Fizo sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Mawar Karim namun bercerai talak satu pada 10 Julai 2019.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam, 7. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI