fbpx
Undang-undang sedia ada jelas supaya tindakan tegas diambil terhadap pemilik atau syarikat yang lalai.

Tangkap tauke lori, jangan hanya pemandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Syarikat dan pemilik kenderaan berat khusus­nya lori perlu diheret sekali ke mahkamah kerana undang-undang sedia ada membolehkan mereka didakwa sekiranya pemandu yang diupah terlibat de­ngan kemalangan menyebabkan kematian.

Peguam Bela dan Peguam Cara, Khairul Naim Rafidi berkata, pihak berkuasa boleh mendakwa tauke lori mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) bagi kesalahan tidak mematuhi piawaian ke­selamatan yang ketat.

Katanya, akta itu memperuntukkan hukuman di mana syarikat berdepan dengan risiko lori disita dan dilucuthak kepada pihak kerajaan.

“Sebagai contoh Seksyen 57(1)(b)(viii) memperuntukkan syarikat bertanggungjawab ke atas kelakukan pemandu atau kelindan kenderaan perdagangan tersebut.

“Ini bermakna syarikat perlu memastikan hanya mereka yang layak sahaja dibenarkan untuk mengendalikan kenderaan perdagangan.

“Seksyen 57(1)(b)(x) pula memperuntukkan supaya syarikat wajib mengambil langkah munasabah bagi melindungi keselamatan penumpang di atas kende­raan tersebut dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Beliau diminta mengulas me­ngenai kemalangan melibatkan lori yang banyak berlaku ketika ini termasuk melibatkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang me­ninggal dunia dalam nahas di Teluk Intan, Perak baru-baru ini.

Setakat ini, hanya pemandu lori yang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Menurut Khairul Naim, jika syarat yang ditetapkan gagal dipatuhi, pihak berkuasa mempunyai kuasa budi bicara untuk membatalkan lesen pengendali tersebut.

Tambahnya, Seksyen 57 (3) membolehkan dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Bagi Seksyen 58(1) akta itu, ia memperuntukkan syarikat mesti mematuhi syarat berkanun lesen pengendali termasuk memastikan kenderaan sentiasa diselenggara dan mengutamakan keselamatan semua pengguna,” katanya.

Ujar Khairul Naim, sekiranya gagal mematuhi syarat, Seksyen 58(3) memperuntukkan hukuman yang sama seperti Seksyen 57(3) termasuk kemungkinan syarikat dikenakan dakwaan jenayah.

“Pada masa sama Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) melalui Seksyen 119A dan Seksyen 119 membolehkan pertuduhan terhadap syarikat dan pe­ngurusan tertinggi jika berlaku pelanggaran peruntukan, termasuk dalam hal penyelenggaraan kenderaan atau kecuaian,” katanya.

Jelas Khairul Naim, sekiranya kemalangan melibatkan kehila­ngan nyawa dan terdapat unsur kecuaian, pertimbangan boleh diberikan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan atau Seksyen 304A Kanun Keseksaan, tertakluk kepada budi bicara Jabatan Peguam Negara.

“Undang-undang sedia ada jelas untuk tindakan tegas diambil terhadap pemilik atau syarikat yang lalai.

“Namun, ia memerlukan keazaman dan kesungguhan penguatkuasaan untuk memastikan bahawa tanggungjawab tidak hanya ditanggung oleh pemandu yang berada di jalan raya, tetapi juga oleh pihak yang berada di belakang tabir, yang mendapat manfaat ekonomi daripada ope­rasi kenderaan tersebut,” ujar­nya.

Sementara itu di Pulau Pinang, Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff menyokong tindakan tegas diambil ke atas syarikat lori jika menjadi punca kepada kemalangan maut.

Katanya, peruntukan undang-undang terhadap syarikat pengangkutan tersebut perlu diperjelas kerana kecuaian mereka tidak boleh diterima dan telah mengorbankan banyak nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

“Kita bersetuju dengan tindakan mengheret pemilik lori ke mahkamah memandangkan terdapat kes pemandu lori hanyalah pekerja, manakala pihak syarikat sering terlepas daripada tanggungjawab undang-undang,” katanya.

Menurut Yusrizal, pemandu lori yang membawa kenderaan secara melulu juga mesti dikenakan hukuman kerana menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Ada segelintir pemandu tidak menghiraukan keselamatan orang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN