JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal bersyukur apabila permohonannya bagi mendapatkan tempat tinggal baharu setelah tidak mampu membayar sewa rumah lama tercapai.
Rahimah B. Karim, 50, berkata, sebelum ini dia bersama dua anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) menyewa sebuah rumah di Taman Mount Austin dengan bayaran RM1,100 sebulan.
Bagaimanapun katanya, pemilik rumah bertindak menaikkan harga sewa kepada RM1,600 menyebabkan dia tidak mampu membayarnya.
“Saya mengambil upah memasak pelbagai jenis lauk sambil menjaga seorang anak OKU terlantar. Sewa rumah terdahulu sebanyak RM1,100 pun sukar untuk dikumpulkan, apatah lagi apabila dinaikkan kepada RM1,600.
“Ketika itu saya pasrah dan sedia bawa anak-anak tinggal di bawah jambatan sekiranya perlu, tetapi Alhamdulillah permohonan mendapatkan kediaman bantuan kerajaan diluluskan,” katanya.
Dia sebelum itu ditemui di program Majlis Perasmian Rumah Transit Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini semalam.
Tambah ibu kepada enam cahaya mata itu lagi, dia nekad melakukan yang terbaik bagi memastikan kesejahteraan diri dan keluarga selepas bergelar ibu tunggal.
“Saya sangat bersyukur dibenarkan menetap di rumah transit ini, bukanlah kediaman percuma yang diharapkan tetapi tempat tinggal selesa untuk saya dan anak-anak.
“Alhamdulillah, saya berharap program ini akan dapat diteruskan pada masa depan bagi membolehkan lebih ramai individu kurang berkemampuan mendapat manfaat,” ujarnya.
Sementara itu, Nor Izuddin b. Ramli, 36, pula berkata, dia akan menggunakan kesempatan menetap di Rumah Transit Asnaf MAINJ bagi meningkatkan pendapatan keluarga.
“Sebelum ini saya bekerja dan menetap di Kuala Pilah, namun selepas diberhentikan kerja tahun lalu saya membawa isteri dan anak-anak berpindah ke Johor Bahru bagi mendapatkan kerja.
“Kini saya bekerja di syarikat perkhidmatan pembersihan, manakala isteri tidak bekerja untuk menjaga lima anak yang masih kecil,” ujarnya.














