fbpx
NOOR EZAINIEY reda dengan ujian Allah dan tetap tabah dan kuat menghadapi cabaran mendatang.

‘Ujian buat diri saya kuat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Biarpun penglihatannya kini tinggal 10 peratus selepas disahkan menghidap glaukoma, namun Noor Ezainiey Abdullah, 26, sentiasa memandang ke­kurangan itu sebagai kekuatan dan bukti dirinya sentiasa kuat walaupun sering diuji.

Glaukoma adalah pe­nyakit saraf mata berpunca daripada tekanan tinggi dalam bola mata dan sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan penglihatan hilang sedikit demi sedikit.

Menurutnya, dia mengetahui dirinya menghidap penya­kit tersebut selepas menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mendapatkan lesen memandu tiga tahun lalu.

“Mata sebelah kiri saya buta sejak lahir, disebabkan itu kehidupan selama 26 tahun ini bergantung pada mata kanan. Namun tidak disangka, satu-satunya mata yang ada ini mula mengalami masalah.

“Hasil pemeriksaan doktor memaklumkan bahawa penglihatan saya hanya tinggal sekitar 10 peratus,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Ezainiey yang be­kerja sebagai pembantu dalam pengurusan harian dan perkhid­matan pelanggan di sebuah klinik estetik, perkembangan terbaharu itu
memberi tekanan emosi kepadanya yang bergantung hidup dengan mata kanan sejak lahir.

“Disebabkan saya bekerja da­lam bidang yang memerlukan menghadap skrin komputer dan berurusan dengan pelanggan, saya perlu mengehadkan masa maksimum dua jam setiap masa.

“Rutin ini bantu saya kekal fokus dan teruskan kerja walaupun dalam keadaan penglihatan yang terbatas,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Noor Ezainiey turut berkongsi pengalaman terpaksa berdepan dengan panda­ngan buruk masyarakat sejak kecil berikutan keadaan mata kirinya yang tidak normal.

Bagaimanapun, saya mengharungi semua itu dengan tabah dan menjadikan ujian yang amat berat ini sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya dalam bidang diceburi pada masa depan.

Katanya, biarpun ada segelintir pihak seolah-olah jijik de­ngan keadaan dirinya dan menyindir secara halus, dia tidak mempedulikan semua itu dan menganggapnya sebagai ujian daripada Allah untuk melihat adakah hamba-Nya reda dengan apa yang berlaku.

Bercerita soal hati, Noor Ezainiey tentunya punya kemahuan hidup berpasangan seperti orang lain.

Namun baginya, kepercayaan, keikhlasan dan kesetiaan adalah tiga ciri utama dalam memilih pasangan sehidup sematinya.

Dia juga menasihati orang ramai agar menjaga kesihatan mata dari awal dengan melakukan pemeriksaan secara berkala dan tidak mengabaikan gejala berkaitan.

“Jangan pandang ringan fungsi tubuh yang nampak ‘kecil’, sebab bila ia hilang, baru kita sedar betapa pentingnya pera­nan itu dalam kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Ezainiey yang merupakan graduan dalam bidang pengurusan pejabat memberitahu, turut gemar mengembara ke luar negara sebagai bentuk menghargai keindahan dunia.

Katanya, dia menggunakan kesempatan yang ada untuk meneroka dunia dengan melawat tempat-tempat menarik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN