BACHOK – Seorang guru atau tenaga pengajar di Akademi Memandu Kist (AmKist) bangga apabila memperoleh gelaran ‘cikgu’ daripada puluhan ribu pelajar yang belajar memandu dengannya sejak memulakan karier 23 tahun lalu.
Azlan Alibi, 59, yang telah menceburi bidang pengajaran pemanduan sejak 2002 kini merupakan Pengurus Operasi merangkap Ketua Pengajar di Akademi Memandu AmKist yang beroperasi di daerah itu.
Anak jati Kampung Jelawat itu berkata, sebelum ini, dia memulakan kerjayanya di Institut Memandu Darul Naim pada usia 20-an.
“Ramai yang memanggil saya cikgu dan bersyukur kerana berjaya melahirkan puluhan ribu pemandu mahir dalam pelbagai kelas kenderaan seperti motosikal, kereta, lori dan bas.
“Saya bangga dan teruja dengan panggilan itu walaupun tidak mengajar di sekolah atau di bilik darjah. Gelaran itu ‘mahal’ buat saya.”
“Alhamdulillah, rezeki dalam bidang ini cukup untuk saya menyara keluarga. Walaupun ada pahit, kemanisannya tetap terasa bila pelajar lulus ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya ketika ditemui di AmKist, Kandis di sini semalam.
Azlan yang memiliki permit pengajar di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992 berupaya mengendalikan sesi latihan bagi pelbagai lesen seperti B, B1, B2, D, DA, E, E1 dan E2 selain Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam.
“Ramai pelajar saya bermula daripada usia belasan tahun hingga mencecah 60 tahun. Kita latih dan ajar mereka sampai lulus,” katanya yang turut meraikan hari guru setiap 16 Mei.















