PETALING JAYA – Kira-kira 60 peratus lori di Malaysia terdiri daripada lori rebuild iaitu kenderaan berat yang dibina semula daripada komponen yang sudah luput tempoh di negara lain kerana melebihi had usia penggunaannya.
Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia, Datuk Micheal Loo Leep Chye berkata, lori rebuild dibina semula di negara ini dan dijual 50 peratus lebih murah berbanding harga kenderaan berat baharu.
Katanya, lori itu kemudian didaftarkan sebagai kenderaan baharu, namun menimbulkan persoalan mengenai tahap kesesuaian penggunaannya di atas jalan raya.
“Ia menjadi pilihan pengusaha untuk menjimatkan kos kerana harga sebuah lori baharu antara RM350,000 hingga RM400,000 berbanding rebuild boleh dibeli bawah RM200,000.
“Saya tahu ramai akan ‘hentam’ saya cakap macam ini, tapi ini perlu diberitahu. Lori rebuild guna alat ganti dari negara lain yang sudah luput tempoh, hayat sudah habis, tidak boleh dipakai lagi.
“Bawa masuk ke Malaysia diperbaiki dan dijual semula,” katanya kepada Kosmo! ketika diminta mengulas mengenai kemalangan maut yang banyak melibatkan lori sejak kebelakangan ini.
Micheal Loo berkata, beliau pernah mencadangkan kepada kementerian berhubung had usia lori yang perlu ditetapkan seperti had usia penggunaan kenderaan e-hailing.
Katanya, jika lori itu terus dibenarkan berada di atas jalan, ia hanya bagi tempoh 10 tahun, manakala had usia lori baharu di antara 17 hingga 20 tahun.
“Cadangan in akan menggalakkan pengusaha membeli lori baharu, sekali gus memberi lebih jaminan terhadap aspek keselamatan pengoperasian sesebuah lori di atas jalan raya.
“E-hailing bawa manusia, ini (lori) lebih lasak bawa barang berat, tapi lori boleh digunakan lebih lama berbanding kenderaan e-hailing,” katanya.
Micheal Loo memberitahu, ramai pengusaha kini sukar untuk mendapatkan pemandu lori kerana mereka lebih memilih untuk menjadi pemandu e-hailing atau penghantar makanan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan sebahagian pengusaha mengambil pemandu secara tangkap muat tanpa melakukan saringan atau memeriksa rekod lampau mereka.















