fbpx
MUHAMMAD HANIF menjadi imam solat tarawih di Masjid At-Tawheed di Auckland, New Zealand sepanjang Ramadan lalu.

Memori Hanif jadi imam tarawih di New Zealand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS mendapat berita gembira, pemuda berusia 24 tahun itu terus membuat panggilan telefon kepada ibu bapanya di kampung.

Dia ingin memberitahu bahawa dirinya telah terpilih menjadi imam solat tarawih di sebuah masjid di New Zealand pada Ramadan lalu. ‘Pergi’, itulah perkataan yang keluar daripada mulut ibu bapanya.

Perkataan itu merupakan restu yang diperlukan oleh Muhammad Hanif Zakaria untuk menerima tanggungjawab besar tersebut, biarpun hatinya cukup berbelah bahagi.

Membuka bicara kepada K-Remaja, anak bongsu daripada lima beradik itu memberitahu, dia sama sekali tidak menyangka akan terpilih untuk mengimamkan solat tarawih di luar negara selama 29 hari tanpa cuti sepanjang Ramadan lalu.

Menurut pelajar tahun ketiga, Ijazah Sarjana Muda Pengajian Qiraat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, temu duga yang dihadiri bagi proses pemilihan berlaku secara tidak sengaja.

“Salah seorang ahli jawatankuasa Manukau Islamic Youth Centre (MYIC) atau dikenali sebagai Masjid At-Tawheed di Auckland tahu bahawa USIM mempunyai pelajar dalam jurusan hafazan al-Quran.

“Maka, individu tersebut menyuarakan hasrat kepada USIM supaya menghantar seorang wakil ke MYIC untuk menjadi imam solat tarawih di sana,” katanya.

Ketika pihak USIM membuat hebahan tentang program itu, Muhammad Hanif mengakui, dia tidak berminat langsung.

Hal ini kerana dia tahu ia satu tanggungjawab cukup besar, selain turut meragui kemampuannya untuk mengembara ke New Zealand.

Tambahan pula, sepanjang hidupnya, Muhammad Hanif belum pernah menaiki pesawat ke luar negara.

Namun rezeki sudah tertulis, Muhammad Hanif yang kebetulan mempunyai tugas di lokasi temu duga telah dipanggil oleh salah seorang pensyarahnya untuk menyertai sesi penilaian tersebut.

“Kata pensyarah itu, kehadiran saya sekadar untuk meramaikan bilangan peserta. Ketika itu, saya dimaklumkan ada lebih kurang tujuh orang pelajar sudah menghadiri temu duga berkenaan. Mereka semua yang terbaik di USIM.

“Namun, apabila dimaklumkan saya terpilih, saya sangat terkejut. Walaupun tidak berminat, namun saya dipilih,” katanya.

Ditanya mengenai faktor yang menyebabkan dia terpilih ke New Zealand, Muhammad Hanif memberitahu, penguasaan bahasa Inggeris yang baik sejak di bangku sekolah membantunya lebih menyerlah berbanding peserta lain.

MUHAMMAD HANIF mampu mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan baik.

“Mereka yang hadir temu duga semuanya hebat. Namun menurut pensyarah saya, penguasaan bahasa Inggeris amat penting kerana dapat melancarkan semua urusan saya di sana,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Hanif turut membuat persiapan untuk memantapkan hafazan dan emosinya.

Akuinya, dia cukup gementar dan adakalanya menyoal diri sendiri tentang keputusan yang dibuat.

Lebih-lebih lagi apabila memikirkan bahawa dia perlu membuat perjalanan ke negara asing secara berseorangan.

Namun, selepas berada di New Zealand selama sebulan, Muhammad Hanif menyifatkan ia sebagai satu pengalaman berharga yang mungkin tidak akan datang lagi pada masa depan.

Bercerita tentang cabaran dihadapi sepanjang menjadi imam di New Zealand, dia berkata, solat tarawih di sana lazimnya memakan masa selama tiga jam yang bermula pada pukul 8.40 malam dan berakhir sekitar 11.40 malam.

“Tarawih di sana hanya lapan rakaat, namun bacaan dalam solat sebanyak 24 muka surat atau bersamaan satu juzuk lebih.

“Di Malaysia, ada juga masjid yang membuat bacaan sebanyak satu juzuk untuk semalam. Namun, solat tarawihnya adalah 20 rakaat.

“Jadi, agak mencabar apabila saya perlu membaca lebih satu juzuk dalam tempoh lapan rakaat.

“Ini menjadikan proses qiyam atau berdiri di dalam solat terlalu lama, sehingga terketar-ketar lutut,” katanya sambil menyifatkan ia satu pengalaman yang belum pernah dilaluinya.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memberitahu, dia meminta kepada pihak pengurusan masjid untuk menjadi imam tarawih pada setiap hari tanpa cuti.

“Pihak MYIC ada bertanya sama ada saya mahu atau memerlukan off days. Namun saya menolaknya kerana ingin menghargai peluang yang telah diberikan oleh mereka.

“Lagi pula, mereka menyediakan segala keperluan saya seperti tiket kapal terbang dan elaun. Jadi, saya mahu memberikan yang terbaik,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Hanif juga ditugaskan untuk menjadi imam bagi solat lima waktu serta mengajar al-Quran kepada kanak-kanak Islam di kawasan tersebut.

Biarpun hanya berada di sana selama sebulan, namun Muhammad Hanif melihat ia sebagai pengalaman yang cukup berharga.

Ketika di New Zealand, dia dapat melihat sendiri kesungguhan penduduk Muslim di sana menghidupkan agama Allah SWT di negara yang majoritinya bukan Islam.

“Komuniti Muslim di sana cukup kecil iaitu tiga peratus, namun mereka menghidupkan Islam dengan menjaga solat jemaah, percakapan dan budaya memberi salam.

“Biarpun berdepan cabaran untuk mengembangkan Islam, namun mereka sanggup berkorban dari segi kewangan dan tenaga bagi memastikan Islam terus berkembang di sana,” katanya.

Sepanjang berada di negara yang terkenal dengan haiwan kiwi itu, dia turut mengambil peluang mengunjungi beberapa lokasi menarik.

Antaranya, melawat kawasan air terjun Huka Falls yang terletak di Taupo dan Sky Tower di Auckland.

Sebelum menutup bicara, Muhammad Hanif memaklumkan, dia seronok dapat menjadi role model buat anak-anak muda yang mungkin menganggap pengajian dalam bidang al-Quran tidak membuka peluang kepada seseorang untuk mengembara jauh.

Untuk makluman, Muhammad Hanif banyak memuat naik kandungan perjalanannya di media sosial untuk memberi inspirasi kepada anak muda lain.

“Jika dahulu, ramai menganggap bidang ini memberi peluang kepada graduan untuk terlibat dalam bidang berkaitan al-Quran sahaja. Bagaimanapun, ia sebenarnya lebih luas. Bidang ini juga membuka peluang kepada anda untuk mengembara serta menyebarkan ilmu dimiliki ke seluruh dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN