TRANSFORMASI teknologi membuatkan motosikal masa kini jauh berbeza berbanding pertama kali diperkenalkan sekitar lewat abad ke-18.
Bermula dengan basikal dua roda dilengkapi enjin stim pada tahun 1867, kenderaan tersebut berubah kepada enjin pembakaran dalam sebelum beralih kepada enjin dua silinder.
Kemudian setelah lama gambaran motosikal sedemikian, ideologi motosikal terbang mula diterapkan dalam pemikiran masyarakat terutama menerusi filem sains fiksyen seperti Star Wars sekitar 1980-an.
Kini, teknologi itu bukan lagi fantasi atau kisah cereka. Memetik portal iMotobike dan Yahoo!, Volonaut iaitu sebuah syarikat perintis teknologi EVTOL (Electric Vertical Take Off and Landing) telah melancarkan motosikal terbang, Airbike baru-baru ini. Volonaut merupakan sebuah syarikat start-up dari Poland.
Motosikal dengan rupa bentuk persis mini superbike itu dilihat berjaya bergerak bebas di udara, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada penunggang.
Motosikal terbang yang dibangunkan oleh pereka kejuruteraan Tomasz Patan berjaya direalisasikan daripada imaginasi pada 1 Mei lalu.
Biarpun rekaan tersebut masih dalam proses ujian, namun ramai yakin dengan kemampuan Patan yang juga sebelum ini membangunkan dron, Jetson One.
Kelebihan mampu terbang di udara dapat membebaskan diri daripada kesesakan lalu lintas dan boleh mengelakkan daripada melalui laluan jalan raya. Airbike juga dilihat merentasi udara di atas kawasan berair, berpasir dan hutan.
Berdasarkan video yang dikongsikan Volonaut Official, Airbike mampu bergerak pantas seolah-olah menentang graviti.
“Berasa seperti sedang menonton filem Star Wars apabila melihat motosikal terbang di angkasa. Mungkin ada yang berfikir ini sebahagian daripada ilusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Percayalah ini memang hal sebenar bahawa rekaan motosikal terbang mampu menjadi satu alternatif kemudahan mobiliti baharu pada masa hadapan.
“Mempamerkan EVTOL penuh yang boleh ditunggang seorang penunggang, Airbike berkuasa jet dan bukannya kipas putar,” kata Patan kepada The Byte.
Mampu bergerak pada kelajuan 200 kilometer sejam (km/j), Airbike menggunakan sistem terbang EVTOL yang membolehkannya berlepas dan mendarat secara menegak tanpa landasan panjang.

SISTEM keseimbangan dengan panel kawalan komputer membolehkan motosikal terapung secara automatik dan berkemampuan untuk membuat putaran 360 darjah tanpa halangan.
Kata Patan, motosikal tersebut direka untuk memberi pengalaman tunggangan seperti motosikal berkawalan manual oleh penunggang.
Berbeza dengan kereta terbang, kenderaan tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas untuk membuat penerbangan.
“Kereta terbang membolehkan sekitar dua individu di dalamnya, berbeza dengan motosikal yang hanya membenarkan seorang sahaja.
“Biarpun mampu terbang seperti mobiliti lain, tetapi motosikal memiliki ciri berbeza dengan kenderaan yang mampu
terbang di udara.
“Mungkin akan kelihatan sedikit persamaan dengan dron penumpang. Namun, bezanya dron penumpang berbentuk kapsul kecil dengan rator (tertutup). Berbeza juga dengan pesawat yang mampu menerbangkan lebih ratusan penumpang dan memerlukan landasan panjang untuk terbang,” katanya.
Bukan saja reka bentuk, tetapi tahap kelajuan juga berbeza untuk dibandingkan dengan kereta terbang, dron penumpang dan pesawat.
“Reka bentuk Airbike menyerupai sebuah motosikal, manakala dron direka seperti helikopter bersaiz kecil. Airbike juga direka tanpa penghadang dan dibiarkan secara terbuka agar membuatkan penunggang berasa seperti benar-benar terbang.
“Dron penumpang pula sudah diuji, tetapi motosikal dan kereta terbang masih dalam peringkat pembangunan.
“Motosikal mampu menjadi mobiliti individu di kawasan bandar, sementara dron penumpang menjadi mobiliti udara bandar untuk jarak pendek, manakala kereta terbang menjadi pilihan pengangkutan hibrid darat-udara,” jelasnya di TechNews.
Penunggang Airbike juga perlu mengenakan ciri keselamatan sama seperti penunggang motosikal.
Pemakaian topi keledar tetap menjadi hal yang wajik buat penunggang bagi memastikan keselamatan.
“Postur penunggang perlu condong ke hadapan, bukan untuk menahan rintangan angin, tetapi untuk menembusi ruang udara.
“Tiada kokpit, tiada sangkar (penutup), hanya aliran udara dan pemandangan yang luar biasa. Motosikal ini merupakan keseronokan tulen dan menjadi exoskeleton (kerangka luar) gentian karbon dan diangkat oleh kejuruteraan berpengalaman,” katanya.
Di samping itu, berat Airbike juga tujuh kali lebih ringan daripada superbike tradisional. Setiap bahagian kerangka dihasilkan daripada cetakan tiga dimensi (3D) agar lebih ringan untuk terbang ke udara.
Gentian karbon yang digunakan menjadikan berat motosikal hanya 39 kilogram. Memandangkan motosikal tidak terlalu berat, Airbike tidak dilengkapi perlindungan keselamatan khusus seperti pendaratan kecemasan
“Ini adalah peralihan budaya apabila jalan raya dan litar yang menjadi ‘medan’ untuk menunggang motosikal, kini beralih ke udara. Mungkin selepas ini kita akan melihat perlumbaan motosikal udara. Digerakkan secara elektrik, motosikal ini mampu bergerak secara senyap dan tidak bising,” ujar Patan.
Biarpun telah dibuktikan dalam ujian yang dibuat baru-baru ini, namun Volonaut masih tidak mempunyai tarikh rasmi untuk memasarkan Airbike di pasaran.
Bagaimanapun Volonaut yakin Airbike mampu mencetuskan revolusi baharu dalam industri automotif lebih-lebih pengguna masa kini terbuka menerima kenderaan yang dikuasakan secara elektrik.














