fbpx
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai lawatan industri di Friends of Sungai Klang Taman Melawati River Three Park di ibu negara baru-baru ini.

K2

Semai kesedaran alam sekitar menerusi lawatan ke Sungai Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELESTARIKAN alam sekitar merupakan tanggungjawab setiap insan.

Oleh itu, masyarakat perlu didedahkan dengan amalan tersebut bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Untuk itu, Kelab Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UiTM SC) telah menganjurkan program lawatan industri yang dinamakan sebagai Sungai Klang Visit Day di Friends of Sungai Klang Taman Melawati River Three Park di ibu negara baru-baru ini.

Program itu merupakan aktiviti kesukarelawanan yang dianjurkan untuk memupuk kesedaran dan tanggungjawab melestarikan alam sekitar, terutamanya dalam isu kualiti sungai. 

Pengarah Program Sungai Klang Visit Day, Adams Haiqal Osman Nazir berkata, lawatan itu memberi peluang kepada para peserta untuk mempelajari cara organisasi berorientasikan komuniti seperti Alliance of River Three (River Three) menguruskan isu-isu berkaitan kelestarian bagi mengekalkan kemampanan.

Menurutnya, objektif utama program itu adalah untuk memupuk nilai tanggungjawab dalam diri peserta akan keadaan alam sekitar yang kian tergadai seiring pembangunan pesat negara ketika ini. 

“Selain itu, program ini diyakini dapat memberi kesedaran tentang isu-isu alam sekitar dan mempromosikan tindakan positif untuk melindungi alam sekitar. 

“Program ini turut menerapkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 15: Hidupan di Darat dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.

“Para peserta juga dapat memahami visi utama River Three, sebelum menyedarkan orang ramai untuk terus komited dalam usaha pemulihan air dan ekosistem,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang menyertai beberapa aktiviti menarik yang memberikan pendedahan langsung kepada amalan kelestarian. 

SEBANYAK 10.6kg sampah berjaya dikumpul oleh para peserta.

Pada sesi pertama, para peserta dibawa melawat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati yang terletak berhadapan dengan Friends of Sungai Klang Taman Melawati River Three sambil diiringi Pengasas River Three, Kennedy Michael.

Para peserta dibawa melihat segala aktiviti dan projek kolaborasi antara pihak River Three dan SMK Taman Melawati yang berasaskan SDG. 

Dimulai dengan denai sekolah yang menerapkan elemen SDG 9 dan bahagian pelajar Pendidikan Khas (SDG 4), di mana semua pelajar dididik untuk bercucuk tanam serta aktiviti kelestarian lain juga. 

Seterusnya, para peserta diperkenalkan dengan sistem penuaian air hujan (SDG 10), laman buluh (SDG 13) yang bertujuan mengurangkan isu perubahan iklim global. 

Para peserta juga dibawa melihat lebah kelulut (SDG 15) yang terletak di serata tempat di sekitar sekolah. 

Tamat sesi lawatan, para peserta memulakan aktiviti kutip sambil riadah di denai sungai dan sekitar kawasan sekolah. 

Sebanyak 10.6 kilogram (kg) sampah yang terkumpul hasil daripada aktiviti itu. 

Ia diteruskan lagi dengan aktiviti sistem kod identifikasi plastik (RIC) yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Sungai Klang Visit Day, Hafiz Haikal yang menerangkan tujuh jenis kod tersebut.

Kemudian, para peserta perlu mengasingkan sampah plastik berdasarkan kod tersebut. 

Kolaj kod identifikasi plastik resin turut dibuat sebagai simbolik aktiviti itu. 

PARA peserta melakukan aktiviti mengutip sampah di denai sungai yang terdapat di sekitar SMK Melawati.

Dalam pada itu, Adams Haiqal turut menyampaikan penghargaan kepada pihak River Three atas kesudian menerima kehadiran para peserta lawatan. 

Ujarnya, mereka amat menghargai keterbukaan River Three dalam berkongsi ilmu mengenai isu dan cabaran dalam menjaga alam sekitar. 

“Lawatan ini memberi pengalaman berharga kepada para peserta.

“Lawatan seperti ini membuka minda kami tentang tanggungjawab terhadap alam sekitar dan bagaimana teknologi boleh menyumbang kepada kelestarian sambil meningkatkan kompetensi kami sebagai pelajar,” jelasnya.

Sementara itu, Penasihat RAS UiTM SC, Ts. Nur Ain Zainuddin menyatakan rasa syukur kerana program Sungai Klang Visit Day dapat dilaksanakan dengan jayanya. 

“Saya amat bersyukur kerana program ini melangkau jangkaan kami. 

“Para peserta bukan sahaja dapat belajar tentang kelestarian, malah menunjukkan komitmen tinggi melalui tindakan nyata. 

“Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara keindahan alam, khususnya sumber air bersih serta melestarikan alam sekitar,” katanya.

Dia juga berharap, program itu bukan sahaja memberi manfaat ilmu, malah menjadi inspirasi kepada peserta untuk terus terlibat dalam usaha menjaga alam sekitar dan mengamalkan kelestarian dalam kehidupan seharian. 

“Pada masa sama, kami juga berharap lawatan ini akan menjadi titik tolak yang memberi inspirasi kepada semua peserta untuk lebih mendalami dan memahami kepentingan melestarikan alam sekitar, terutamanya dalam konteks pemeliharaan serta pemuliharaan. 

“Dengan pendedahan langsung yang diterima semasa lawatan ke Friends of Sungai Klang Taman Melawati River Three Park, sudut pandangan para peserta semakin jelas bagaimana setiap individu mampu menyumbang kepada kelestarian,” katanya. 

Ujar Nur Ain, kelab itu juga berharap agar program sebegitu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan kerjasama yang lebih erat antara River Three dan RAS UiTM SC.

“Ia bagi memberi manfaat yang lebih besar kepada para peserta serta memupuk hubungan lebih kuat antara institusi pendidikan dengan pihak industri dalam mempromosikan kelestarian alam,” katanya sebelum menutup bicara.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN