PETALING JAYA- Sebanyak 12 buah kereta termasuk dua motosikal bersusun terlibat dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Butterworth-Kulim Expressway (BKE) gara-gara sebuah kenderaan hilang kawalan pagi tadi.
Kemalangan itu didakwa menyebabkan kesesakan sejauh 7 kilometer.
Menerusi satu hantaran video di TikTok milik @Ary_kfu90, memaparkan deretan kenderaan yang rosak teruk, termasuk Perodua Kancil, Myvi dan Toyota Alphard.
Dalam rakaman berdurasi lebih 30 saat itu, kereta-kereta dilihat tersusun sepanjang laluan lebuh raya selepas berlaku pelanggaran berturut-turut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna menzahirkan rasa terkejut dan pada masa sama menyalahkan sikap pemandu yang tidak menjaga jarak selamat.
“Itulah padahnya kalau ikut rapat sangat dan bawa laju. Memang tak sempat nak buat apa-apa,” komen @Paklang.
“Ini masing-masing laju, ikut pula rapat. Bila yang depan ada masalah, habis semua kat belakang. Memang tak sempat brek,” kata @Pengadilan_84.
“Sebab bawa lajulah kot, ikut rapat sangat,” kata @Hambaallah.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kemalangan melibatkan 12 buah kereta dan dua motosikal di Kilometer 10.2 arah Barat dari Lunas ke Kubang Semang itu berlaku sekitar pukul 6.43 pagi tadi, menyebabkan kesesakan trafik sehingga tujuh kilometer.
Difahamkan, kemalangan tersebut menghalang laluan lorong kecemasan dan lorong kanan selama beberapa jam sebelum kerja-kerja mengalihkan kenderaan selesai. – KOSMO! ONLINE














