fbpx
TARIAN kuda pacu melambangkan keberanian dan status sosial etnik Bajau Samah.

Rentak jiwa Bajau Samah dalam langkah kuda pacu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT muzik pengiring yang dikenali sebagai Tigad-Tigad bergema menerusi pembesar suara, barisan penari lelaki melangkah masuk ke atas pentas.

Mereka membuka langkah seolah-olah sekumpulan pahlawan berkuda sedang bersiap sedia ke medan juang.

Lompatan-lompatan kecil yang meliuk lentur dilakukan mengikut irama alat tradisional seperti kulintangan, gendang, gong dan babandil.

Penari lelaki membuat pusingan dalam bulatan sebelum disertai penari wanita yang masuk ke pentas dengan gaya lemah gemalai.

Dengan langkah yang teratur dan estetik, penari wanita membawa simbolik limbayan atau dayang-dayang yang menyambut kepulangan pahlawan mereka.

Sesekali, laungan ‘cha’ dilontarkan oleh penari lelaki sambil menghayunkan tali ke arah ‘kuda pacu’ mereka sekali gus menghidupkan suasana seperti penunggang kuda sebenar.

Pengerusi Pertubuhan Seni Budaya Sabah Kuala Lumpur dan Selangor (PERSENIBAH), Dayang Norinah Datu Gastan berkata, tarian kuda pacu melambangkan keberanian dan status sosial etnik Bajau Samah.

TARIAN kuda pacu melambangkan keberanian dan status sosial etnik Bajau Samah.

“Pada asalnya, tarian kuda pacu dipersembahkan ketika majlis menyambut atau mengiringi pengantin lelaki dan hanya disertai oleh penari lelaki.

“Kini, tarian kuda pacu yang gagah disertai barisan penari wanita sekali gus menjadikan tarian lebih dinamik dengan sentuhan gemalai.

“Tarian tersebut kini dipersembahkan pada majlis perayaan, sambutan tetamu kehormat dan acara kebudayaan termasuk Pesta Tamu Besar Kota Belud,” katanya kepada CitaRasa.

Dayang Norinah ditemui ketika menyelia persembahan penari-penarinya bersempena program Celebrate Arts anjuran Yayasan Hasanah di Taman Tugu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Untuk pengetahuan, tarian kuda pacu merupakan tarian tradisional yang berasal daripada suku kaum Bajau Samah di Kota Belud, Sabah.

Ia dicipta Jeffery Oleh pada tahun 1975, tarian tersebut diinspirasikan daripada permainan rakyat etnik berkenaan iaitu main kuda pacu.

PENARI lelaki biasanya memakai baju blaus lengan panjang, seluar panjang, samping, tanjak dan selendang.

Tarian tersebut menjadi identiti masyarakat Bajau Samah kerana menggambarkan kemahiran menunggang kuda yang sememangnya sinonim dengan mereka.

Gerakan tarian itu meniru pergerakan menunggang kuda dengan penekanan pada kekuatan kaki dan postur tubuh.

Selain itu, tarian yang sering dipersembahkan dalam durasi lima minit itu juga mengandungi elemen seni bela diri seperti silat.

Penari lelaki biasanya memakai baju blaus lengan panjang, seluar panjang, samping, tanjak dan selendang.

Sementara itu, penari wanita pula mengenakan sinipak iaitu blaus dengan belahan di lengan, dipadankan dengan kain sarung olos berangkit serta perhiasan kepala timpak dan kalung mandapun.

Tambah Dayang Norinah, tarian tersebut bukanlah satu tarian yang wajib dipelajari oleh etnik Bajau Samah, tetapi ia tetap diajar secara tidak formal dalam komuniti.

“Kebanyakan daripada kami yang tinggal di Kota Belud, Sabah mempelajari tarian ini kerana kami membesar melihatnya dipersembahkan dipelbagai acara keramaian.

“Bagi anak-anak suku kaum Bajau Samah yang membesar di Semenanjung, tarian ini diajar di Dayak Entertainment Studio di Jalan Gombak, Kuala Lumpur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN