PETALING JAYA – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming mendedahkan menerima terlalu banyak resume daripada orang ramai yang memohon untuk bekerja di kilangnya.
Lebih menghiburkan, Khairul Aming berkata, pelbagai cara dilakukan termasuk meninggalkan dokumen itu di bawah pintu pejabat, diselitkan pada cermin kereta dan meninggalkan di dalam troli ketika bertemu dengannya di pasar raya.
“Setiap hari resume baru akan masuk. Saya tak tahu nak beri jawatan kosong dekat siapa, resume sudah ‘berbukit’ di kilang yang belum semak.
“Macam-macam cara mereka buat, ada yang letak dalam troli pasar raya, selit bawah pintu, kepit pada cermin kereta, ada depan pejabat dan pagar kilang,” katanya pada sesi siaran langsung di TikTok.
Menurut pempengaruh itu, kadangkala terdapat satu kekosongan dibuka dalam setahun di kilangnya menyebabkan dia tidak mampu mengambil pekerja melebihi keperluan operasi.
“Tiada kerja kosong, bukan tak nak bagi mohon tetapi terlampau ramai. Kekosongan dalam setahun satu sahaja. Staf saya pula tak letak jawatan.
“Saya rasa jahat nak buka jawatan kosong sedangkan kekosongan mungkin hanya satu. Kilang ketiga belum dimulakan, tetapi saya rasa 10 kilang pun tak mampu nak menampung resume yang banyak itu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE