fbpx
Aariz sering unggul pada pertandingan cabaran bahasa Inggeris peringkat kebangsaan.

Aariz baca bahan BI siasatan nahas kapal terbang sejak kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Kemenangan ini adalah satu sejarah penting bagi saya, dalam proses menjadi seorang yang lebih berjaya di masa hadapan,” tutur Aariz Abdillah, remaja 14 tahun yang baru-baru ini mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila berjaya mencatat pencapaian membanggakan dalam Global English Language Olympiad of Southeast Asia (GELOSEA) 2025 di Incheon, Korea Selatan.

Aariz yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, Sarawak merangkul pingat berlian (diamond) dalam kategori Menengah 2 yang merupakan pingat tertinggi di GELOSEA 2025, mengatasi emas, perak dan gangsa.

Untuk makluman, GELOSEA 2025 merupakan pertandingan antarabangsa dalam bahasa Inggeris yang dianjurkan Global League of Winners, Inc (GLOW).

Pertandingan tersebut menguji kemahiran bahasa Inggeris para peserta dari segi grammar, vocabulary, pemahaman dan penulisan serta memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan rakan sebaya dari pelbagai negara, memperkukuh jaringan pendidikan dan budaya di rantau Asia Tenggara.

Selain Aariz, dua lagi pelajar lelaki dari iaitu Darrel Nathaneal Buko Desmond dan Marc Xavier Pitor Dineal Gumis, masing-masing dari Sekolah Menengah Sains Kuching Utara (SAKURA), Sarawak turut bertanding di pentas yang sama dan membawa pulang pingat emas dan gangsa bagi kategori Menengah 3.

Berkongsi dengan K-Remaja, Aariz memberitahu biarpun berharap mencatat kejayaan, dia akui sama sekali tidak menyangka berjaya membawa pulang pingat diamond.

Apatah lagi, selepas melihat para pesaingnya yang lain masing-masing merupakan pelajar dari sekolah berasrama penuh dan sekolah berprestasi tinggi.

“Kebanyakan peserta lain yang juga mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dalam pertandingan di Incheon merupakan pelajar-pelajar hebat dari sekolah berasrama penuh dan juga sekolah berprestasi tinggi.

“Sementara saya pula adalah pelajar dari sekolah harian biasa,” katanya.

Namun, rezekinya sudah tertulis dan Aariz seronok apabila usaha kerasnya membuahkan hasil.

Bercerita tentang permulaannya menyertai pertandingan berprestij itu, Aariz berkongsi perjalanannya menjadi peserta GELOSEA 2025 bermula pada Januari 2025 secara dalam talian bagi peringkat kebangsaan.

Selepas meraih pingat emas di peringkat kebangsaan, Aariz seterusnya layak ke peringkat antarabangsa yang diadakan di Korea Selatan pada 3 hingga 6 April lalu.

Kejayaannya tidak datang tanpa cabaran, dan Aariz menyifatkan cabaran terbesar yang dihadapi bagi pertandingan itu adalah rasa kurang yakin untuk menang.

“Sebelum Olympiad ini, saya masih tidak dapat membayangkan bagaimana bentuk kertas soalan yang akan diberikan.

“Ada masanya, saya hilang keyakinan dalam membuat persediaan. Namun, saya beritahu diri bahawa saya perlu hadapinya.

“Selain itu, cabaran juga datang dalam bentuk tekanan dari dalam diri. Ini kerana, untuk pertandingan ini, ibu bapa sudah berikan banyak perkara kepada saya seperti mencari guru, memberikan saya peluang dan juga mengeluarkan perbelanjaan untuk ke Korea Selatan,” katanya.

AARIZ merupakan pelajar dari sekolah menengah biasa iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, Sarawak.

Berkongsi kejayaan anaknya, Abdillah Ahmad, 45, mengakui cukup teruja apabila Aariz berjaya merangkul pingat diamond pada pertandingan itu, memandangkan dia tahu pengorbanan serta penat lelah anaknya untuk bertanding di GELOSEA 2025.

“Saya rasa bersyukur kerana Aariz berjaya mengharungi semua cabaran dengan jayanya.

“Saya juga rasa seronok untuk pihak ibu Aariz, kerana bagi saya, dialah insan yang paling banyak berkorban masa, tenaga dan fikiran dalam menjadi jurulatih Aariz bagi menghadapi pertandingan ini,” kongsinya.

Abdillah yang juga berasal dari Sri Aman, Sarawak berkata, dia mula menyedari minat anaknya terhadap bahasa Inggeris sejak usia lima tahun.

Bahkan, Aariz juga boleh membaca bahasa Inggeris dengan lancar ketika berusia sekitar 5 tahun enam bulan.

“Selain membaca, Aariz juga suka melukis dan sejak kecil, saya dan isteri banyak membeli buku dengan muka surat kosong untuk Aariz menulis, melukis dan juga pelbagai buku bacaan untuknya.

“Pada masa sama, kami juga sentiasa menguji ‘spelling’ atau ejaan bahasa Inggeris Aariz, kerana kami juga agak terkejut dia boleh eja perkataan bahasa Inggeris dengan baik sejak kecil,” jelasnya.

Ujar Abdillah, sebagai bapa dia mendidik anaknya untuk lebih mahir berbahasa Inggeris dengan menyediakan bahan-bahan bacaan bahasa Inggeris.

Bahkan, bahan bacaan yang disediakan juga bukan hanya terhad kepada bahan bacaan kanak-kanak, bahkan buku-buku bahasa Inggeris berkisar kapal terbang memandangkan anaknya itu juga sudah menunjukkan minat terhadap bahan bacaan berbentuk penyiasatan kemalangan kapal seperti siri majalah Air Crash Investigation pada usia 6 dan 7 tahun.

“Kami membelikan Aariz majalah kapal terbang yang sebenarnya merupakan bahan bacaan dewasa, namun anak saya itu cukup seronok apabila diberikan majalah sedemikian,” katanya.

Pendedahan terhadap pertandingan peringkat antarabangsa pada usia remaja pula disifatkan Abdillah sebagai sesuatu yang membantu meningkatkan tahap keyakinan anaknya itu, lebih-lebih lagi membabitkan persediaannya hadapi ujian.

Ujar Abdillah, sebelum ini, Aariz masih keliru dengan fasa peralihan dari sekolah rendah ke sekolah menengah.

“Sewaktu di sekolah rendah, Aariz tidak terdedah dengan ujian seperti di sekolah menengah dan oleh sebab itu, saya nampak dia tidak begitu faham bagaimana sistem ujian itu mempengaruhi prestasi akademik.

“Sejak menyertai pertandingan ini, barulah Aariz merasakan bahawa ujian itu sesuatu yang penting,” katanya.

Bagi meningkatkan pengetahuan, Abdillah memberitahu, dia mendidik anaknya untuk sentiasa membaca.

“Setiap kali kami keluar ke pusat beli-belah, kami pasti akan masuk ke kedai buku.

“Setiap kali kami bercuti pula, kami pasti akan singgah di kedai buku, walaupun hanya kedai buku di dalam lapangan terbang.

“Saya juga akan sentiasa menjawab soalan anak dengan fakta, serta mencari buku yang berkaitan untuk menjawab semua kemusykilan mereka,” katanya.

Mengakhiri bicara, Abdillah menitipkan pesan buat ibu bapa yang mempunyai hasrat untuk menyokong kemahiran anak-anak dalam menguasai bahasa Inggeris.

“Pertama sekali, ibu bapa hendaklah mempunyai matlamat yang jelas. Contohnya, jika kita mahu anak boleh berbahasa Inggeris, jadi sejak mereka lahir, kita mulakan proses untuk mencapai matlamat tersebut setiap hari.

“Sebagai ibu bapa, kita harus terapkan keinginan dalam diri anak-anak untuk menggenggam kejayaan, dan ini mungkin boleh dibuat dengan memberi mereka ganjaran atau hadiah sekiranya mereka dapat membaca buku dan sebagainya.

“Selain itu, sentiasa sokong minat anak-anak dan kaitkan minat mereka dengan buku dan amalan membaca,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN