KOTA BHARU – Seorang suri rumah berputih mata selepas barangan kemas miliknya bernilai lebih RM30,000 hangus dijilat api dalam kebakaran lapan buah rumah di Kampung Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 4.48 petang itu menyebabkan 31 mangsa daripada lapan buah keluarga tinggal sehelai sepinggang.
Kamariah Awang Hamat, 56, berkata, dia tidak sempat menyelamat barang kemas kerana tiada di rumah semasa kejadian. Wanita itu menjaga anaknya yang patah kedua-dua paha akibat kemalangan di Kampung Lundang di sini.
“Saya mengetahui kejadian kebakaran itu selepas dihubungi anak (Hakimi Suliman) yang berada di rumah. Dia yang sedang tidur bingkas bangun selepas terdengar bunyi bising di luar rumah.
“Saya bergegas pulang dan mendapati sebahagian rumah hangus dijilat api. Saya tidak sempat menyelamat barang kemas bernilai lebih RM30,000,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Mohd. Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 4.48 petang dan mendapati api sedang marak sebaik tiba di lokasi tersebut.
“Api dapat dikawal dalam masa lebih sejam kerana angin kuat. Kesemua mangsa sempat keluar untuk menyelamatkan diri. Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE