PETALING JAYA – Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang bakal memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) esok.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, majlis itu akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.
“Pagi ini, saya menerima panggilan telefon daripada sahabat lama ibu Hetty Koes Endang bersama suaminya. Dengan penuh rasa hormat dan mesra, mereka menyatakan keinginan untuk hadir memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 KPKM.
“Lebih menggembirakan, ibu Hetty sudi untuk menyumbangkan beberapa buah lagu di majlis tersebut tanpa sebarang bayaran. Satu penghargaan yang amat kami hargai,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mohamad turut berkongsi hubungan akrab yang terjalin antara keluarga mereka sejak sekian lama.
“Setiap kali saya berkunjung ke Jakarta, rumah beliau (Hetty) akan menjadi tempat persinggahan saya. Begitu juga apabila beliau berada di Kuala Lumpur, rumah kami pula menjadi tempat beliau bertamu. Begitulah eratnya ukhuwah yang terjalin antara kami sekeluarga.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ibu Hetty dan suami atas keikhlasan dan kesudian mereka untuk bersama-sama memeriahkan majlis nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE