BANGKOK – Seramai enam anggota polis terkorban selepas pesawat ringan yang mereka naiki mereka terhempas ke dalam laut sejurus berlepas dalam nahas di wilayah Prachuap Khiri Khan, barat Thailand, lapor portal berita Bangkok Post semalam.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 8.15 pagi (waktu tempatan) di Teluk Thailand, kira-kira 100 meter dari pantai di daerah Cha-am dan 1 kilometer ke utara Lapangan Terbang Hua Hin.
Pesawat jenis DHC 6-400 Twin Otter itu dikendalikan oleh dua juruterbang dan membawa dua mekanik serta seorang jurutera.
Jurucakap Polis Diraja Thai, Leftenan Jeneral (polis) Archayon Kraithong berkata, pesawat itu terhempas ketika menjalani ujian penerbangan untuk latihan payung terjun.
“Lima anggota dan pegawai maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Hua Hin untuk rawatan lanjut.
“Dia disahkan meninggal dunia sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan),” kata jurucakap itu.
Pesawat itu adalah salah satu daripada tiga Twin Otters yang diperoleh Polis Diraja Thai pada 2020 dan telah menjalani penyelenggaraan baru-baru ini, lapor media tempatan.
Siasatan awal mendapati pesawat itu hilang kawalan sejurus selepas berlepas dari landasan.
Juruterbang cuba mendapatkan semula kawalan tetapi gagal menyebabkan ia terjunam ke dalam laut, dengan badan pesawat putus dua.
Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca nahas. – AGENSI