PETALING JAYA – Suasana penuh emosi dan menyentuh hati apabila seorang pelajar lelaki memeluk pengawal keselamatan sebuah sekolah sejurus menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.
Perkongsian di klip video di Facebook @Ahmadfauzibinyaakob, menunjukkan pelajar berkenaan meluru ke pagar sekolah bagi mengucapkan terima kasih kepada pengawal keselamatan yang setia menjaga keselamatan mereka sepanjang sesi persekolahan.
“Bagi mereka, semua orang memainkan peranan bukan hanya guru, tetapi juga pengawal keselamatan yang mendoakan dalam diam dan sentiasa ada ketika diperlukan. Mereka tahu, kejayaan ini bukan hasil usaha sendiri semata-mata,” katanya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen, yang rata-ratanya tersentuh dengan sikap hormat dan rendah diri pelajar berkenaan.
“Kalau sayalah seorang cikgu, saya akan bangga melahirkan seorang murid yang begini. Mahal gambar ini, dan mahal juga detik-detik seperti ini,” kata @Mienmeyyo.
“Setuju, mereka menjadi penyumbang terbesar kepada kemenjadian pelajar-pelajar terutamanya pelajar yang tinggal di asrama kerana jauh dari keluarga merekalah menjadi pendengar setia,” kongsi @Khairizaini.
“Nampaknya adab dulu baru ilmu sudah sebati dalam diri anak-anak murid. Tahniah, sebak pula tengok gambar ini,” ujar @Jaybeezulayla.
Dalam pada itu, hantaran itu turut mendapat perhatian daripada Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek yang tersentuh hati dengan perkara tersebut. – KOSMO! ONLINE