JAKARTA – Beribu-ribu orang sanggup beratur di luar sebuah pejabat pada awal pagi untuk menyerahkan resume mereka bagi mendapatkan pekerjaan, lapor portal berita Abatanews semalam.
Kejadian berlaku di hadapan pejabat PT Letsolar Energi Indonesia di Batam, Kepulauan Riau baru-baru ini.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @net2netnews.reborn memaparkan orang ramai berpusu-pusu menyerahkan resume mereka bagi mendapatkan sesi temuduga.
Mereka beratur seawal pukul 5.20 pagi (waktu tempatan), walaupun pejabat mula beroperasi hanya pada pukul 8 pagi (waktu tempatan).
Mereka tetap sabar menunggu sehingga tidak mempedulikan kesihatan dan keadaan sendiri.
Kesesakan itu juga menyebabkan beberapa individu terjatuh ke dalam parit yang berlumpur.
Rakaman itu mencatatkan lebih 747,700 tontonan bersama 25,100 tanda suka.
“Pulang sahaja ke rumah. Kalian tiada ‘kabel’,” kata seorang netizen.
“Mencari pekerjaan di Indonesia memang susah,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI