JOHOR BAHRU – Mangsa kes pukul beramai-ramai sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah rumah flat di Plentong di sini terpaksa menerima sembilan jahitan, tiga pada bibir kanan dan enam di telinga kiri.
Mangsa yang berusia 21 tahun yang bekerja sebagai operator sebuah kilang di Taman Puteri, Kluang itu turut mengalami bengkak pada dada dan belakang.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di rumahnya menerima pesanan ringkas kira-kira pukul 5 petang, Jumaat lalu daripada seorang wanita yang dikenalinya meminta supaya menemaninya di rumah sewa di Plentong di sini.
Mangsa sampai ke rumah tersebut kira-kira pukul 9.30 malam dan tidak lama kemudian datang tiga lelaki tidak dikenali dengan salah seorang membawa sebilah senjata dipercayai parang.
Tiga lagi lelaki lain keluar dari sebuah bilik memukul mangsa secara beramai-ramai termasuk dengan kayu.
Kumpulan lelaki terbabit meminta mangsa membayar wang RM3,000 namun mangsa tidak mempunyai duit sebanyak itu dan hanya menyerahkan RM600 kepada suspek selain sebuah motosikal Yamaha Y16 dirampas.
Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Plentong, Seri Alam kira-kira pukul 11.14 malam, Sabtu lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis terbabit.
Katanya, susulan itu, seramai tujuh lelaki dan seorang wanita sudah ditahan sejak semalam. – KOSMO! ONLINE