KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan mendahului Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam hal berkaitan bola sepak khususnya untuk menjadikan industri sukan itu bertambah baik pada masa akan datang.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menekankan bahawa permasalahan bola sepak negara tidak boleh dinilai hanya daripada satu insiden sebaliknya memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk FAM, kelab dan persatuan di seluruh negara.
“Untuk bola sepak, apa saya nak nyatakan adalah anda semua tahu bahawa MSN (Majlis Sukan Negara) ada program pembangunan NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) dan turut ada akademi di Gambang, Pahang.
“Saya sudah minta AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) buat penilaian, laporan sudah diberikan dan kita juga adakan bincangkan dengan FAM apa yang kita akan serahkan dan apa yang mereka diminta bantu MSN.
“Sekarang kita bukan nak jaga empat program pembangunan saja, sekarang ada program sukan Olimpik di peringkat MSN. Jadi kita tidak boleh buat kerja untuk FAM dan mereka kena bangkit memainkan peranan mereka,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KBS 2025, hari ini.
Sebelum ini Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin menjelaskan pihaknya akan bertemu kepimpinan tertinggi FAM bagi membincangkan hala tuju NFDP pada 28 April ini khususnya bagi meneliti penilaian AFC.
“Untuk isu bola sepak kita tidak boleh berdasarkan satu-satu kes, ia perancangan holistik dan lengkap. Tidak boleh bergantung kepada satu negeri atau satu kelab sebaliknya kena bergerak bersama.
“Saya juga betul-betul perlukan kerjasama FAM sebab soal kepakaran sepatutnya (ada di) persatuan sukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE