fbpx

‘Saya rujuk mufti, ustaz sebelum fail cerai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORA mengakui gangguan pihak ketiga memaksanya nekad mahu mengakhiri perkahwinan dengan Rushdi.

SHAH ALAM – Nekad mahu bercerai, penyanyi Nora Ariffin mengakui tidak bermusuhan dan masih mengekalkan hubungan baik dengan suami, Dr. Rushdi Ramli.

Nora atau Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, memaklumkan keputusan untuk berpisah juga dibuat selepas mendapatkan nasihat golongan pakar bab pernikahan dan perceraian mengikut hukum syarie.

“Setakat ini alhamdulillah, hubungan antara saya dan dia masih baik. Kami tidak bermusuhan dan masing-masing sedar akan situasi yang berlaku.

“Saya sendiri tidak membuat keputusan terburu-buru. Saya merujuk kepada mufti, ustaz dan individu berpengalaman dalam hal-hal syarie sebelum memfailkan perceraian ini.

“Perkara ini juga saya kongsi dengan ahli keluarga serta anak-anak. Alhamdulillah, anak-anak memahami,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.

Dalam masa sama, pelantun lagu Renungan Terakhir itu turut mendakwa muncul pihak ketiga yang memaksanya memfailkan cerai pada hari ini.

“Perkahwinan kami sudah memasuki tahun keenam dan selama ini kami bahagia.

“Namun, gangguan pihak ketiga yang tidak dapat kami dedahkan secara terperinci menyebabkan saya terpaksa mengambil tindakan memfailkan cerai,” ujarnya.

Ditanya sama ada Nora akan berpatah balik sekiranya dipujuk Dr. Rushdi, dia hanya meletakkan sepenuhnya di tangan Yang Maha Esa dan hanya mahu menunggu prosiding pertama kelak.

“Wallahu’alam. Saya tidak tahu apa ada dalam hati seseorang.

“Buat masa ini, saya hanya buat apa yang sepatutnya saya buat dan selebihnya saya berserah kepada Allah.

“Kalau dia nak pujuk, tunggu sahaja 6 Mei nanti,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, ibu kepada empat orang anak itu mengakui masih tinggal sebumbung dan suami tetap mengikut sistem penggiliran untuk bermalam.

“Kami masih tinggal serumah ketika sambutan hari raya tempoh hari dan menghadiri jemputan bersama.

“Kami tidak bergaduh, tetapi kini hidup agak berjauhan.

“Saya banyak mengalah dan tidak bertanya lebih-lebih. Saya serahkan segalanya kepada dia” jelasnya.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor menetapkan tarikh 6 Mei bagi prosiding pertama perceraian Nora dan Dr. Rushdi.

Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya.

Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI