PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh hanya mendendangkan bait-bait lagu Tunggu Sekejap nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ketika ditanya berhubung keputusan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 bagi peringkat cabang baru-baru ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang keputusan tersebut yang menyaksikan beberapa nama besar dalam PKR turut kalah dalam pemilihan, Anwar yang juga Presiden PKR secara berseloroh terus mendendangkan bait lagu tersebut.
“Tunggu sekejap, jangan dikenang orang jauh, tunggu sekejap,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di sini hari ini.
Semalam, Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat cabang merangkumi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita dilihat mencatat kejutan kepada parti berkenaan selepas beberapa nama besar disahkan tewas.
Antara nama besar yang tewas termasuklah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Naib Presiden PKR.
Beliau kalah mengejut kepada pengarah serta pelakon, Datuk Afdlin Shauki dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.
Selain itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim juga tewas kepada Zamzizul Nordin dalam merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya.
Antara nama besar lain yang tewas termasuklah Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy (Bukit Bintang); Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan EXCO Pulau Pinang, Fahmi Zainol.
Untuk rekod, fasa satu Pemilihan PKR 2025 peringkat cabang meliputi AMK dan Wanita, berlangsung di tujuh negeri dari 11 hingga 13 April lalu.
Fasa dua pula membabitkan Kelantan, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Johor serta Sabah yang bermula 18 April lalu dan berakhir semalam. – KOSMO! ONLINE