KADAR pemahaman mengenai pelaburan yang sangat rendah dalam kalangan masyarakat di negara ini membuatkan Muhammad Farhan Abdul Rahman, 23, terpanggil untuk berkongsi ilmu berkaitan bidang tersebut.
Walaupun masih ‘hijau’ dalam bidang pelaburan, Muhammad Farhan atau lebih dikenali sebagai Han tekad membuka pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Sustainable Investment Network pada tahun lalu.
“Objektif utama penubuhan NGO ini adalah untuk melahirkan komuniti yang celik mengenai pelaburan supaya tiada lagi kes penipuan atau terpedaya dengan janji manis mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Saya berasa terkilan mendengar kes-kes penipuan pelaburan sehingga terpaksa menanggung kerugian besar, walhal perkara ini dapat dicegah sekiranya kita mempunyai ilmu.
“Satu lagi masalah orang kita adalah nak cepat kaya dan mudah terpedaya dengan kemewahan yang ditunjukkan oleh sifu-sifu ‘trader’ (pedagang). ‘Mindset’ ini yang perlu diubah,” katanya yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.
Justeru, Han giat mengadakan pelbagai program untuk mendidik masyarakat dan berkongsi ilmu secara percuma menerusi NGO yang diasaskannya itu bersama 20 orang sukarelawan tetap serta ahli komuniti dan para pelajar di institusi pengajian tinggi.
Antara program yang dianjurkan oleh pihaknya adalah Wall Street Talk @ Sustainable Investment Network dan Southeast Asia Climate Investment Summit dengan dihadiri peserta daripada pelbagai latar belakang.

“Program-program yang kami anjurkan ini melibatkan nama-nama besar pemain industri kewangan, perbankan dan pelaburan supaya peserta mendapat gambaran sebenar mengenai bidang ini.
“Meskipun agak mencabar untuk menjemput nama-nama besar ini sebagai penceramah, tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk menyediakan figura yang tepat dan terbaik untuk para peserta menimba ilmu pelaburan,” kata penerima Anugerah Verbal Commendation for Asia Youth International Model United Nation itu.
Jelas Han, bidang pelaburan agak rumit dan susah hendak difahami, maka program yang dianjurkan itu berkongsi ilmu pelaburan dari A hingga Z yang merangkumi pelbagai aspek.
“Saya nak beri pendedahan kepada masyarakat bagaimana pelaburan ini berfungsi.
“Mereka yang faham mengenai pelaburan boleh menjadi pemimpin bagus dan pembuat polisi yang baik.
“Sebagai contoh, hendak beli saham kena ada tiga elemen asas seperti fundamental, teknikal dan sentimen, tetapi malangnya sifu-sifu ‘trader’ hanya ajar teknikal sahaja,” ujar anak tunggal itu.
Mengulas mengenai kecintaannya dalam pelaburan, Han berkata, sejak kecil dia telah didedahkan dalam bidang itu memandangkan ibu dan bapa saudaranya turut terlibat dalam dunia pelaburan.

Walaupun masih bergelar pelajar dan dianggap masih mentah dalam dunia pelaburan, tetapi Han gigih menimba sebanyak mungkin ilmu berkaitan pelaburan bersama syarikat-syarikat terkemuka dan bank menerusi latihan industri secara sukarela.
“Setiap kali cuti semester selama tiga bulan, saya akan mengambil peluang menjalani latihan industri bersama syarikat dan bank bagi menimba sebanyak mungkin ilmu kewangan serta pelaburan.
“Dengan cara ini, saya dapat menambah pengalaman bekerja meskipun masih bergelar pelajar,” katanya yang merupakan bekas duta Maybank.
Mengakhiri bicara, besar harapan Han untuk membuka firma pelaburan sendiri suatu hari nanti dan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana selepas lima tahun bekerja.
Han juga menitipkan pesan kepada orang ramai agar menuntut ilmu sebanyak mungkin menerusi pelbagai sumber seperti pembacaan buku dan You Tube.
Ujarnya, tidak ada konsep easy money, jadi untuk mendapatkan duit kita perlu bekerja keras.














