fbpx
SALMA berkongsi kejadian dia diserang lelaki yang juga jirannya ketika ditemui di Felda jengka 2, Maran semalam.

‘Saya tetap diserang, ditikam walaupun sudah lari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – Seorang peniaga wa­nita ti­dak menyangka umurnya ma­sih panjang biarpun ditikam bertubi-tubi pelanggan lelaki de­ngan pisau dalam kejadian amuk di gerainya di Felda Jengka 2, di sini baru-baru ini.

Mangsa, Salma Mus­tapha, 52, berkata, kejadian meng­gem­par­kan pada pukul 10 pagi, 6 April lalu itu mening­galkan trauma yang mendalam sehingga dia memutuskan tidak mahu lagi berniaga di tapak sama selepas ini.

“Saya masih terbayangkan wa­­jahnya (suspek) dan darah yang mengalir. Saya menjerit Alla­h­u­akbar ketika bertarung nyawa,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumah keluarganya di sini semalam.

Selain wanita itu, suspek yang juga jiran mangsa turut menikam anak saudara Salma berusia 16 tahun.

Cerita Salma, insiden berdarah itu berlaku ketika dia menyediakan nasi berlauk untuk dijual di pekan sehari sebelum didatangi suspek berusia 57 tahun dari arah belakang.

“Dia (suspek) kata nak nasi, ketika saya tunduk untuk mengambil nasi dia mencekak leher dan menikam perut saya dari belakang. Saya pegang senjata tajam itu dengan tangan, namun tetap cedera di perut.

“Saya menjerit sekuat hati sambil melawan suspek. Saya cuba lari, tetapi suspek yang bagaikan dirasuk te­rus mengejar dan menyerang saya sehingga cedera di dagu dan lengan,” katanya.

Menurut Salma, anak saudaranya yang sedang tidur di rumah berdekatan lokasi kejadian bingkas bangun selepas terdengar je­ritan dan cuba menyelamatkan­nya, namun lelaki itu turut cedera.

Remaja itu cede­ra di lutut dan paha kanan akibat ditikam de­ngan senjata sama.

KETUA Kampung Felda Jengka 2, Ramli Mohamad menunjukkan lokasi kejadian amuk yang berlaku di gerai Salma pada 6 April lalu.

“Mujur anak saudara saya sempat terajang suspek hingga terjatuh. Saya kemudian mencapai kerusi plastik lalu menghentaknya sekuat hati,” katanya
.
Ekoran kejadian itu, Salma menerima lebih 30 jahitan iaitu lima di perut, 11 (dagu) dan 22 (tangan kanan). Mangsa dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

“Alhamdulilah nyawa saya masih panjang. Ketika kejadian saya pakai seluar getah, jika tidak mungkin tikaman itu (tertusuk) lebih dalam. Sebaik sedar (di hospital), baru saya tahu kejadian ini mendapat liputan meluas dan tular dalam media sosial.

“Saya akui memang trauma, malah pernah menjerit ketika dalam tidur. Pesakit yang berada di dalam wad terkejut, mujur petugas kesihatan banyak membantu sepanjang menerima ra­watan di sana,” katanya.

Salma berkata, dia tidak me­nyangka suspek yang dikenali sejak kecil sanggup bertindak kejam terhadap dirinya lebih-lebih lagi sebelum itu lelaki tersebut memberikannya dodol dan da­ging pada malam raya.

“Kebelakangan ini suspek nampak pelik berkemungkinan mengambil barang terlarang, tapi saya tidak sangka dia sanggup membunuh,” katanya.

Salma memberitahu, dia tidak bercadang untuk kembali berniaga di lokasi kejadian dan akan mencari tempat baharu yang le­bih selamat.

Sementara itu, Mohammad Syahmil Iqbal berkata, dia nekad menyelamatkan ibu saudaranya yang bergelut dengan suspek dengan cara melompat ke atas belakang lelaki tersebut, namun terjatuh
.
“Dia (suspek) tikam kaki saya. Selepas itu saya pusing dan terajang dia dengan sekuat hati. Saya heret emak (Salma) masuk ke dalam kedai dan mengunci pintu. Saya cuma mahu emak selamat,” katanya.

Dalam kejadian itu, suspek meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai dibelasah sekumpulan lelaki yang melihat insiden amuk tersebut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN