LONDON – Krisis antara pengurus Chelsea, Enzo Maresca dengan penyokong pasukan itu semakin parah apabila beliau didesak supaya meletakkan jawatan selepas tewas 1-2 kepada Legia Warsaw pada suku akhir kedua Liga Konferens Europa kelmarin.
Walaupun gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri, namun The Blues masih meneruskan kemaraan ke separuh akhir hasil kemenangan 3-0 pada pertemuan pertama minggu lalu.
Maresca menyuarakan keyakinan beliau akan terus kekal mengemudi pasukan itu pada baki saingan musim ini dalam usaha mereka melayakkan diri ke kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
“Boleh dikatakan kami mengharungi musim ini pada kedudukan layak ke Liga Juara-Juara Eropah dan sekarang Chelsea sudah ke separuh akhir (Liga Konferens Europa). Saya langsung tidak ragu dengan apa yang kami lakukan.
“Memang adakalanya kami berdepan situasi sukar seperti ini tetapi ia akan membantu pasukan menjadi lebih kuat. Sudah tentu saya yakin pihak pengurusan masih percaya dengan kemampuan saya,” katanya.
Menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Fulham di Craven Cottage malam ini, Chelsea menggalas misi wajib menang bagi terus menghidupkan harapan mereka untuk melayakkan diri ke UCL.
Pada masa sama, Maresca turut mengharapkan sentuhan jaringan daripada dua pemain harapannya, Cole Palmer dan Nicolas Jackson kerana percaya The Blues mungkin terlepas slot ke UCL sekiranya kedua-dua pemain itu terus kemarau gol. – AGENSI