LIVERPOOL – Tonggak pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk dilaporkan bakal muncul sebagai pemain dengan gaji ketiga termahal di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas melanjutkan kontrak baharu bersama kelab itu.
Komitmen ditunjukkan kapten The Reds itu secara tidak langsung menyuntik semangat tambahan pasukan untuk mengejar kejuaraan EPL dan menjadi kesinambungan baik selepas turut berjaya mendapatkan tandatangan Mohamed Salah bagi terus kekal di Anfield.
Berdasarkan laporan media England, bintang Belanda itu dilaporkan bakal menerima gaji baharu bernilai £385,000 (RM2.25 juta) seminggu sekali gus membolehkan Van Dijk terus memainkan peranan penting terhadap perancangan pengurus pasukan, Arne Slot.
Ketika ini, hanya penyerang Manchester City, Erling Haaland dan Salah yang masing-masing dipercayai menerima gaji mingguan termahal, dikatakan berjumlah £500,000 (RM2.9 juta) dan £480,000 (RM2.8 juta) seminggu.
“Saya rasa ini adalah tepat dan saya fikir banyak lagi perlu dicapai selepas apa yang kami lalui bersama sejak beberapa tahun. Inilah tempat saya meraih kejayaan dan saya harap dapat melakukannya pada masa akan datang.
“Saya sukakan bandar ini, kelab, penyokong dan juga rakan sepasukan saya,” kata Van Dijk.
Bayaran diterima Van Dijk itu dilaporkan sama dengan jumlah diperoleh bintang Manchester City, Kevin De Bruyne, namun perancang tengah dari Belgium itu sudah membuat keputusan untuk berhijrah meninggalkan The Citizens hujung musim ini. – AGENSI