TAPAH – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meminta pesawah menerima penurunan harga benih padi sah (BPS) sebanyak RM2 sehingga semakan dibuat terhadap kadar baharu tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semakan harga benih padi itu akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berada pada paras yang tidak membebankan pesawah.
Katanya, beliau mengambil maklum keluhan pesawah dan langkah sewajarnya akan diambil dalam menangani kebimbangan golongan itu terhadap harga benih padi.
“Buat masa ini (harga BPS) diturunkan sebanyak RM2, namun harga itu akan dilihat dari semasa ke semasa. Buat masa sekarang, saya harap para petani terima dulu penurunan sebanyak RM2 ini.
“Bagaimanapun, di pihak kementerian, kita sentiasa peka terhadap apa-apa tuntutan yang dianggap munasabah oleh para petani,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, keputusan KPKM menurunkan harga BPS sebanyak RM2 disifatkan mengecewakan golongan pesawah kerana didakwa tidak memberi kesan signifikan kepada mereka. – KOSMO! ONLINE