PETALING JAYA – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan diumumkan pada 24 April ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya berkata, ia melibatkan seramai 402,956 calon yang mendaftar bagi menduduki peperiksaan itu di 3,337 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
“Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan SPM 2024 daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada tarikh tersebut.
“Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mendaftar bagi menduduki peperiksaan,” katanya.
Semakan keputusan peperiksaan SPM 2024 juga boleh dibuat secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888.
Perkhidmatan tersebut akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi 24 April dan ditamatkan pukul 6 petang, 30 April.
Dalam pada itu, KPM mengucapkan tahniah kepada semua calon atas keputusan peperiksaan SPM 2024.
“Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan,” tambah kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE