PADA suatu ketika, lastik pernah menjadi salah satu permainan kegemaran kanak-kanak.
Namun seiring waktu, permainan lastik semakin dilupakan oleh masyarakat. Malah, ada kanak-kanak pada hari ini langsung tidak mengenali permainan lastik.
Justeru itu, Kumpulan Lastik Slingshot Malaysia (KLSM) mula bergerak aktif untuk mempromosikan permainan.
Jebat Hamzah, 48, merupakan salah seorang penggemar permainan lastik yang menyertai kumpulan itu.
Menurutnya, permainan lastik berjaya mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanaknya.
“Ketika kanak-kanak, inilah permainan saya. Namun apabila meningkat dewasa, permainan ini semakin dilupakan.
“Kini, saya kembali aktif bermain permainan ini apabila ada geng yang mempunyai minat sama,” katanya kepada CitaRasa.
Ketika ini, permainan lastik kembali mendapat sambutan dan pelbagai pertandingan telah dianjurkan untuk mempopularkannya.
Menariknya, lastik kini telah mengalami evolusi. Biasanya, lastik tradisional diperbuat daripada ranting kayu berbentuk ‘Y’ dan getah gelang.
Kini, lastik moden dihasilkan daripada pelbagai material dan mempunyai reka bentuk ergonomik untuk meningkatkan lagi ketepatan melastik sasaran.
Dalam pada itu, Oii Yinn Khurn, 39, merupakan salah seorang yang aktif dengan permainan lastik ketika ini.

Menurutnya, dia terlibat dengan permainan lastik ketika pandemik Covid-19 melanda dunia sebelum ini.
“Pada ketika itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan saya mencari sukan yang boleh dimainkan di rumah untuk menghilangkan bosan.
“Ketika kecil, saya tidak pernah bermain permainan lastik ini. Jadi, saya melihat YouTube untuk mengetahui tentang permainan ini,” jelasnya.
Dalam tempoh itu, Yinn Khurn hanya bermain lastik secara berseorangan sehinggalah dia bertemu dengan KLSM pada 2023.
Kini, permainan lastik telah menjadi salah satu hobinya serta aktif menyertai beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Lastik ini mudah, ia boleh dimainkan pada bila-bila masa dan dapat tenangkan minda apabila rasa stres.
“Permainan ini juga mengajar kita fokus untuk melastik dengan tepat ke sasaran,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan KLSM, Mohammad Samsul Fitri Nordin berkata, permainan lastik kini mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, keahlian untuk kumpulan itu sudah melebihi 200 ahli.
“Ahli yang berdaftar secara sah terdiri daripada pelbagai bangsa merangkumi Melayu, India dan Cina dari seluruh Malaysia.
“Selain itu, Facebook persatuan kami mempunyai pengikut lebih 51,000 orang dan mereka aktif berkongsi pendapat tentang permainan lastik,” jelasnya.
Penubuhan persatuan itu adalah untuk memfokuskan segala bentuk aktiviti berkaitan sukan lastik.
Antara aktiviti dilaksanakan merangkumi pengurusan, latihan dan pertandingan. Selain itu, persatuan melaksanakan aktiviti seperti lastik basmi haiwan perosak dan lastik ikan.
Bagi mempromosikan lagi permainan lastik, persatuan itu telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Pertandingan Lastik Terbuka Malaysia – Asia redONE 2025 yang akan diadakan pada 20 April ini di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Serdang Jaya, Selangor.
Samsul Fitri berkata, pertandingan itu membolehkan pemain lastik di seluruh negara menguji kemampuan masing-masing.
Menurutnya, sebelum ini, tiada pertandingan yang dapat mengumpulkan peminat sukan lastik di Malaysia.
“Pertandingan ini juga berjaya menarik peserta dari luar negara seperti Indonesia, China, Vietnam dan India,” terangnya.
Dalam pada itu, persatuan KLSM merancang untuk menjadi anggota sah World Slingshot Association (WSA) dan membawa pertandingan lastik bertaraf dunia ke Malaysia.
Selain itu, KLSM berharap lastik boleh dipertandingkan pada acara sukan bertaraf kebangsaan seperti Sukan Malaysia (Sukma).














