fbpx
MOHD. ZAILANI menunjukkan seleksi menu yang ditawarkan di HR Mee Champa di Bandar Baru Bangi, Selangor. – Amir Khalid

Keunikan mi dan sup Melayu Champa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEKSTUR mi Champa yang kenyal tetapi lembut, tidak mudah putus dan tidak terlalu liat memberikan kepuasan terhadap setiap kunyahan penulis.

Mi yang diperbuat daripada tepung gandum itu agak licin, sekali gus memudahkan ia menyerap kuah tanpa menjadi terlalu lembik.

Rasanya yang semula jadi tawar dan tidak beralkali seperti mi kuning tempatan menjadikannya enak dimakan bersama sup Champa.

Mengenai sup Champa pula, ia merupakan sup rebusan kaki, gear box, daging dan perut lembu bersama rempah ratus yang dimasak selama enam jam.

Hidangan sup pekat yang lebih puas dimakan bersama cili Vietnam ini boleh dinikmati di HR Mee Champa di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Menurut pengusaha restoran berkenaan, Mohd. Zailani Mohd. Zain, masakan masyarakat Melayu Champa menitikberatkan penggunaan bawang yang dibakar terlebih dahulu sebelum digunakan dalam rebusan sebagai satu ciri khas tradisional mereka.

“Keunikan masakan masyarakat Champa ini adalah penggunaan bawang merah dan bawang putih yang dibakar terlebih dahulu dengan menggunakan arang sebelum diolah dalam masakan.

“Kami lebih mengutamakan bawang putih. Contohnya, bawang goreng kami diperbuat daripada bawang putih berbanding kebiasaan yang digunakan kebanyakan orang iaitu bawang merah,” katanya kepada CitaRasa.

Masyarakat Champa berasal dari kerajaan purba Champa yang wujud di kawasan Vietnam tengah dan selatan sejak abad ke-2 Masihi.

Hari ini, masyarakat Champa masih wujud sebagai minoriti di Vietnam dan Kemboja.

Sebahagian besar komuniti Muslim Champa telah berhijrah ke negara-negara jiran termasuk Malaysia sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an.

MI Champa ayam dan daging yang mempunyai tekstur kenyal dan tidak liat.

Di Malaysia, masyarakat Melayu Champa boleh ditemui di Terengganu, Kelantan dan Johor.

Selain dimakan bersama sup, pelanggan turut boleh memesan mi Champa goreng yang dihidangkan bersama sayur dan cili Vietnam.

Kongsi Mohd Zailani, sup Champa di restorannya turut ditawarkan dengan pilihan mi dan pilihan isi yang berbeza mengikut selera pengunjung.

“Selain daripada mi Champa, kami juga menawarkan mi kuning, kuetiau, bihun serta pilihan isi sama ada daging, ayam, perut atau urat keting.

“Oleh kerana masakan ini tidak pedas, mereka boleh menambah cili Vietnam yang disediakan mengikut tahap kepedasan yang disukai mereka,” katanya.

Bagi pelanggan yang mahu menjamah nasi, mereka disarankan untuk mencuba nasi putih atau nasi goreng yang dihidangkan bersama daging loklak (lada hitam).

Kuah lada hitam versi Champa tidak memiliki rasa pedas menyengat, membolehkan penulis dapat menikmati rasa jus daging batang pinang tersebut.

Selain itu, pelanggan juga boleh memesan nasi putih bersama ayam cham iaitu ayam yang diperap dengan sos lada hitam selama satu malam.

Ayam tersebut digoreng dengan api yang sangat perlahan bagi mengelakkannya hangit sambil memastikan bahagian dalamnya masak sekata dan kekal berjus.

Secara keseluruhan, restoran yang beroperasi dari pukul 7.30 pagi hingga 10 malam itu menawarkan 30 menu, termasuk masakan Indonesia dan Barat.

Ujar Mohd. Zailani, pelanggan juga disarankan untuk mencuba kopi Vietnam yang boleh dibancuh sendiri sama ada menggunakan susu pekat manis atau gula.

“Minuman signatur kami menggabungkan dua jenis kopi Vietnam yang disediakan secara titisan perlahan melalui penapis logam tradisional.

“Penapis khas yang dipanggil phin menghasilkan kopi yang pekat, kaya dan aromatik serta sesuai diminum bersama susu pekat manis untuk memberi rasa manis dan berkrim.

“Tetapi kami tetap menyediakan gula bagi pelanggan yang tidak mahu rasa susu pada kopi mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN