PETALING JAYA – Seorang penghuni sebuah rumah kebajikan di Cheras dekat sini mendakwa melalui pengalaman buruk apabila pernah diberi makan roti yang sudah berkulat selain dikurung di dalam bilik yang berkunci.
Remaja berusia 18 tahun yang enggan dikenali itu berkata, pengalaman itu dilalui selama sembilan tahun di rumah berkenaan, namun sukar untuk keluar disebabkan kedaifan hidup.
Dia mendakwa, kesemua penghuni di rumah itu juga sering dimarah dan tidak diberi hak untuk bermain atau berhubung dengan orang lain seperti kehidupan kanak-kanak di luar sana.
“Hukuman kurung dalam bilik, tidur di atas papan biasanya dikenakan kepada mereka yang dianggap ‘nakal’ dan melawan cakap. Kalau mak cik tidak suka, dia akan kurung kita dekat dalam (bilik berkunci).
“Kalau hari ini mak cik marah, esok dia bawa rotan untuk pukul kami. Saya sendiri pernah kena lempang, rotan di tangan,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di sini, semalam.
Menurut remaja itu, dia ditempatkan di rumah kebajikan tersebut setelah diserahkan oleh keluarganya pada 2016 disebabkan kesempitan hidup.
Namun katanya, pengalaman di rumah itu jauh lebih buruk daripada yang dibayangkan.
“Mak ayah saya sekarang di Pahang. Kami memang keluarga susah. Jadi saya membesar di rumah kebajikan. Sepanjang di sini, kami tidak dibenarkan keluar langsung melainkan untuk pergi ke sekolah.
“Segala aktiviti dikawal ketat dan hanya dilakukan di kawasan rumah. Malah, ada antara kami yang jatuh sakit kerana makanan yang diberikan sudah basi, berkulat. Ada makanan yang sudah tamat tempoh sejak 2023 lagi, tapi kami tetap disuruh makan sehingga sekarang.
“Kalau ada yang derma makanan hari ini, esok atau lusa baru kami dapat makan makanan tersebut,” dakwanya.
Sementara itu, Pengerusi Malaysia Fight League, Kenneth Lam Toan Leng berkongsi pengalamannya ketika pertama kali mengunjungi rumah kebajikan itu pada Mac lalu.
Katanya, dia terkejut apabila pada awalnya mereka tidak dibenarkan untuk berinteraksi dengan kanak-kanak di rumah tersebut, malah hanya diberikan 15 minit untuk meletakkan barang sumbangan serta bergambar, kemudian diarah untuk beredar segera.
“Kami berkeras untuk terus berada di sana, walaupun dihalau tetap tidak mahu pergi sebab kami datang untuk jumpa dengan budak-budak.
“Apa yang saya pelik, awalnya dimaklumkan ada 22 kanak-kanak di rumah, tetapi bila kami sampai hanya separuh daripada mereka datang sambut kami. Ada budak bagi ‘sign’ pada saya tunjuk atas.
“Saya ternampak satu tangga dan saya naik senyap-senyap. Saya terkejut apabila nampak ‘sangkar’ (bilik kecil) yang dikunci dari luar di tingkat atas, beberapa kanak-kanak sedang dikurung siap ada seorang pekerja berjaga depan itu,” dakwanya.
Kenneth, 55, memberitahu, dia segera meminta pekerja terbabit untuk membuka pintu bilik tersebut dan membenarkan kesemua mereka yang dikurung menikmati pizza di bawah bersama penghuni lain.
“Saya paksa juga suruh buka, saya marah sebab mana boleh kurung orang macam ini. Bila budak-budak keluar, pemilik rumah marah saya, dia maki saya. Saya kesian betul lihat budak-budak diperlaku seperti ini,” katanya.
Tambah beliau, ini adalah pengalaman kali pertama berdepan dengan situasi seperti itu ketika melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR).















