BERBICARA tentang isu kesihatan mental kalangan wanita, ia mungkin sesuatu yang kurang diberi perhatian oleh kebanyakan masyarakat kita.
Sebenarnya, ramai wanita di luar sana berjuang dengan isu tersebut sehingga mengganggu kehidupan harian mereka.
Oleh demikian, sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025, Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Malaysia telah menghimpunkan pembuat dasar, aktivis kesihatan mental serta pemimpin wanita bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan kesejahteraan mental wanita.
Bertemakan ‘Wanita Beraspirasi, Membina Legasi’, sambutan tahun ini menekankan keperluan untuk usaha berterusan dan segera dalam menangani cabaran kesihatan mental yang dihadapi wanita termasuk tekanan sosial, beban tanggungjawab penjagaan, cabaran di tempat kerja serta keganasan berasaskan gender.
Acara ini menampilkan ucapan utama yang berinspirasi, sesi perbincangan panel bersama tokoh-tokoh wanita terkemuka serta pelancaran beberapa inisiatif utama yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan mental wanita.
Presiden dan Pengasas MIASA Malaysia, Anita Abu Bakar menekankan bahawa kesihatan mental adalah elemen asas dalam pemerkasaan wanita.
Menurutnya, wanita sering menjadi tunjang kepada keluarga, tempat kerja dan masyarakat.
“Namun, terlalu kerap perjuangan mereka tidak kelihatan dan kesejahteraan mereka dianggap sekunder.
“Kesihatan mental bukanlah satu kemewahan, ia adalah satu keperluan.
“Kita tidak boleh bercakap tentang pemerkasaan wanita tanpa mengiktiraf kepentingan kesejahteraan mental mereka,” katanya ketika ucapan aluannya pada acara tersebut yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Anita turut menegaskan bahawa setiap wanita, sama ada mereka memilih untuk bekerja di sektor korporat, dalam aktivisme, atau menjadi suri rumah sepenuh masa, harus dihormati dan diberikan sokongan yang sewajarnya.
Justeru, polisi yang lebih fleksibel dan sistem sokongan yang kukuh diperlukan untuk memastikan wanita mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, literasi kewangan serta rangkaian sokongan komuniti yang menghargai peranan mereka.
Sejajar dengan tema ‘Wanita Beraspirasi, Membina Legasi’ dan ‘Meraikan Kekuatan dan Ketahanan’, MIASA turut melancarkan tiga inisiatif utama iaitu Podcast Soul Sisters yang merupakan platform perbincangan mengenai isu wanita, kesihatan mental dan pemerkasaan yang dikendalikan oleh Anita dan Sister Aliza Kim.
Selain itu, turut dilancarkan adalah Sisters Haven yang merupakan kumpulan sokongan kesihatan mental eksklusif bagi wanita bagi mewujudkan ruang selamat untuk penyembuhan dan pertumbuhan diri.
Turut dilancarkan adalah Pusat Kesejahteraan Kanak-Kanak MIASA (CWC) yang merupakan inisiatif holistik bagi memenuhi keperluan kesihatan mental dan emosi kanak-kanak serta mengurangkan beban ibu dan penjaga melalui sistem sokongan yang tersusun.
Dalam pada itu, Penasihat Kedua MIASA Malaysia, Datuk Mastura Yazid menekankan kepentingan perpaduan dan sokongan sesama wanita dalam memperjuangkan kesejahteraan mental dan pemerkasaan diri.
“Saya menyeru setiap wanita hari ini untuk saling mengangkat dan menyokong satu sama lain.
“Kekuatan kita terletak pada kesatuan dan solidariti kita,” ujarnya.

Tambahnya, perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata, tetapi melalui tindakan kolektif, kita dapat membentuk masa depan di mana wanita benar-benar berdaya dalam setiap aspek kehidupan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Suriani Ahmad berkata, kesejahteraan mental wanita adalah aspek penting dalam pembangunan negara.
“Selain meraikan kejayaan wanita adalah amat penting untuk menangani cabaran yang mereka hadapi dalam menjaga kesejahteraan diri, khususnya dalam aspek kesihatan mental.
“Saya turut mengiktiraf usaha MIASA dalam memperjuangkan kesejahteraan mental wanita melalui inisiatif seperti Podcast Soul Sisters, Sisters Haven dan Pusat Kesejahteraan Kanak-Kanak MIASA, yang menyediakan ruang selamat dan sokongan penting kepada wanita dan keluarga,” jelasnya.
Sejajar dengan tema Hari Wanita Antarabangsa 2025, beliau mengulangi komitmen Kementerian Kesihatan dalam memperkukuhkan polisi kesihatan mental serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan sokongan agar setiap wanita dapat terus berkembang maju dan meninggalkan legasi yang bermakna.
Inisiatif utama KKM termasuk Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan (NSPMH) yang memperluas perkhidmatan kesihatan mental di 1,088 klinik kesihatan, 70 hospital dan 37 pusat MENTARI (Mental dan Psikiatri) di seluruh negara.
Penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) sebagai pusat koordinasi utama merangkumi kerjasama strategik antara sektor kerajaan, swasta dan NGO dalam advokasi kesihatan mental, penyelidikan dan peningkatan akses perkhidmatan.
Selain itu, dana sokongan kepada lebih 50 NGO termasuk MIASA untuk memperkasakan program advokasi kesihatan mental di peringkat akar umbi.















