ASSALAMUALAIKUM Datuk, mohon pencerahan isu isteri curang kerana lebih kaya daripada suami. Mereka buat suami seperti ‘pak turut’ atau sebagai kuli asbab kekayaannya.
JAWAPAN: Hak suami merupakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh isteri. Hak suami adalah tanggungjawab yang tidak seharusnya diabaikan oleh isteri apabila berlangsungnya akad perkahwinan antara mereka berdua. Hak suami atas isterinya adalah suatu yang perlu dijaga. Mengabaikan boleh menyebabkan akibat yang buruk di dunia dan di akhirat. Ini kerana, kunci untuk masuk syurga bagi isteri terletak pada keredaan suaminya. Seperti sabda Nabi SAW; “Jikalau memerintahkan seseorang untuk bersujud, pasti saya akan memerintahkan seseorang perempuan untuk sujud kepada suaminya.” (Riwayat al-Tarmizi, 1159)
Hadis di atas jelas menunjukkan kedudukan suami serta tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh isteri ke atas suaminya. Perbuatan sujud di dalam Islam lazimnya dilakukan oleh manusia sebagai hamba kepada pencipta iaitu khaliq. Justeru itu, hadis di atas cuba menggambarkan betapa seorang isteri wajib mematuhi, menghormati dan mentaati seseorang suami. Bagaimanapun, isteri dikecualikan daripada mentaati suami pada perkara-perkara mungkar.
Sehubungan itu, suami memainkan peranan sebagai ketua rumah tangga dan isteri adalah pengurusnya. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: “Kamu semua adalah pemimpin dan masing-masing daripada kamu akan ditanya (diminta pertanggungjawaban) atas apa yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya. Seorang isteri adalah pemimpin (pengurus) bagi rumah suaminya serta anaknya. Oleh kerana masing-masing daripada kamu adalah pemimpin dan masing-masing daripada kamu diminta bertanggungjawab tentang apa yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari (893)
Jelas ayat di atas merupakan antara hikmah pensyariatan perkahwinan. Suami isteri hendaklah berkomunikasi dan beramal dengan cara baik, serta memanggil dengan nama baik. Antara cara pergaulan yang baik antara suami isteri adalah saling cinta dan kasih, saling nasihat, tidak membuka aib pasangan, amanah, cinta, kasih, saling percaya, berlemah lembut dalam pergaulan, ucapan yang baik, penghargaan dan penghormatan serta tolong-menolong pada mentaati Allah dan tanggungjawab bersama terhadap rumah tangga.
Sehubungan itu, hak dan tanggungjawab yang lahir daripada akad perkahwinan mempunyai matlamat melahirkan kebahagiaan dan kerukunan dalam sesebuah keluarga yang terbina.
Mengabaikan hak dan mencuaikan tanggungjawab merupakan pelanggaran terhadap perintah syarak dan ketetapan undang-undang yang boleh mengakibatkan timbul ketidaktenteraman dalam kehidupan berkeluarga dan mengundang perpisahan yang dibenci oleh Allah SWT. Isteri wajib menghormati suami walaupun lebih kaya daripada suami.














