MENAIKI kenderaan mewah yang nilainya mencecah lebih setengah juta ringgit pastinya cukup selesa dan mengujakan.
Biarpun terpaksa menempuh kesesakan panjang bagi tempoh yang lama untuk pulang berhari raya ke kampung, namun keselesaan pemanduan Toyota Vellfire mampu menjadi ‘penawar’ sekiranya tersekat dalam kesesakan lalu lintas.
Begitulah hal yang dinikmati oleh Sharifah Nur Amalina Syed Nasir, 31, tatkala pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarganya ke Terengganu dari Lembah Klang dengan kenderaan mewah yang disewa.
Baginya balik kampung dengan kenderaan mewah seperti Vellfire atau Toyota Alphard sudah menjadi rutin setiap kali hari raya sejak beberapa tahun lalu.
Meskipun perlu berhabis ribuan ringgit, namun keselesaan menjadi fokus utama di samping saiz kenderaan yang membolehkan pelbagai barangan dapat dibawa pulang ke kampung.
“Paling utama, kenderaan pelbagai guna eksekutif seperti Vellfire atau Toyota Alphard ini mampu membawa ramai penumpang. Jadi, apabila pulang berhari raya, saya boleh membawa saudara-mara untuk menaiki kereta pergi beraya beramai-ramai.
“Kenderaan seperti ini bukan sahaja mewah, tetapi mempunyai tempat duduk yang lebih luas dan selesa. Selalunya saya sekeluarga akan menyewa selama beberapa hari bergantung kepada keadaan,” katanya kepada CitaRasa.
Sudah adat menyewa sesuatu yang mahal apabila ia akan dijaga dengan cermat, begitu jugalah Amalina yang akan mengutamakan keselamatan semasa pemanduan.
“Perkara itu penting bagi mengelak sebarang kemungkinan. Saya akan memeriksa keadaan kereta sebelum menggunakannya dan memandu dengan cermat. Sebagai penyewa kita juga perlu bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Affendi Anuar, 33, pula menjadikan kereta mewah sebagai simbol kepuasan apabila merentasi lebuh raya dengan penuh bergaya dan selesa tatkala pulang berhari raya di Johor Bahru.
Sejak dua tahun lalu, Affendi mula meletakkan variasi kereta mewah dalam senarai wajib atau ‘to do list’ untuk menyambut Aidilfitri. Malah, dia juga membulatkan hati untuk meneruskan tradisi itu pada lebaran kali ini.

Jelas pekerja swasta itu, menyewa kereta mewah mula dijadikan amalan sejak dinaikkan pangkat dan mempunyai lebih pendapatan untuk menyewa kereta kegemaran pulang beraya.
“Hari raya adalah waktu terbaik untuk kita nampak bergaya. Bukan sahaja bergaya dengan baju baharu, tetapi kereta juga menjadi salah satu perkara yang dapat membuatkan seseorang itu kelihatan lebih menarik.
“Bagi saya, tidak salah berbelanja lebih asalkan dapat kepuasan lebih-lebih lagi sambutan Aidilfitri hanya sekali setahun.
“Sebelum ini saya pernah sewa Porsche 911 Carrera T dan Mercedes-Benz G63 AMG (G-Wagon) kerana terikut-ikut dengan trend.
“Bagi merasai sendiri pengalaman memandu G63 AMG (G-Wagon), boleh dikatakan lebih puluhan ribu juga saya belanja semata-mata untuk menyewanya selama empat hari.
“Tahun ini, saya pilih BMW i8 saja kerana tahun lepas sudah banyak belanja, mungkin tahun depan saya cuba sewa kereta lain seperti Aston Martin DB12 atau Bentley Continental GT,” katanya.
Sementara itu, menurut salah satu pengusaha khidmat sewaan kereta mewah, pulang berhari raya dengan kereta atau kenderaan mewah sewa sudah menjadi trend tidak kira bagi si bujang atau yang sudah berkeluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif KRL Legacy, Mohd. Khairil Ariff berkata, perkhidmatan sewa kereta mewah mendapat sambutan hangat terutama saat menjelang Syawal.
Katanya, menyewa kenderaan mewah untuk dibawa pulang berhari raya sudah termasuk dalam ‘senarai raya’ atau wish list sekali gus menjadikan sambutan Hari Raya Aidilfitri lebih bermakna.
Kenderaan berstatus ‘kayangan’ seperti Toyota Vellfire, Toyota Alphard, Mercedes AMG E43, BMW 5 Series 520i, Ford Mustang dan Nissan GT-R antara ‘pisang goreng panas’ yang menjadi kegilaan penyewa.
“Sejak empat tahun kebelakangan ini, saya melihat menyewa kereta mewah ini sudah menjadi seperti satu trend setiap kali sambutan hari raya.
“Ada antara pelanggan yang sering menyewa dan akan menukar jenis kereta mewah setiap tahun.
“Sewaan kereta mewah ini juga tidak semahal dahulu kerana harganya kini jauh lebih berpatutan buat mereka yang ingin beraya sakan.
“Harga sewaan harian adalah seperti RM900 untuk Toyota Vellfire, Toyota Alphard; RM1,000 untuk Mercedes AMG E43, BMW 5 Series 520i dan RM2,700 bagi Nissan GT-R dianggap berbaloi kerana pelanggan tidak perlu memikirkan penjagaan bulanan kereta mahupun bayaran bulanan. Cukup untuk menyediakan perbelanjaan menyewa bagi tempoh tertentu sudah memadai,” katanya ketika ditemui CitaRasa di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Kenderaan mewah yang sebilangannya mencecah jutaan ringgit tentu saja memerlukan penjagaan dan kos penyelenggaraan tinggi.
Malah, risiko kerosakan atau kehilangan juga menjadi hal yang paling dibimbangkan oleh syarikat sewaan kereta mewah.
“Sebelum memberikan kereta kepada pelanggan, syarikat saya mempunyai prosedur yang akan dilakukan untuk mengetahui sama ada pelanggan tersebut boleh dipercayai atau tidak. Setelah segala pengesahan diperoleh, barulah pelanggan akan dibenarkan untuk ambil kereta.
“Kehilangan dan kerosakan kereta memang menjadi kebimbangan, tetapi saya reda dan percaya setiap perniagaan mempunyai pasang surut.
“Jika berlaku kerosakan, kami akan potong daripada bayaran pendahuluan atau pelanggan menambah bayaran bagi menampung kos membaiki kerosakan.
“Sekiranya tidak mampu, saya akan anggap itu sebagai kerugian yang perlu ditanggung.
“Soal kebersihan pula, saya harap pelanggan dapat menjaga kereta dengan baik dan bersih. Kotor sedikit tidak mengapa, paling penting dipulangkan lengkap dan tidak rosak,” ujarnya.














